PETALING JAYA: Buat kali kedua, karya pelajar Institut Seni dan Reka Bentuk Kreatif UCSI University (UCSI) menjadi pilihan L’OCCITANE Malaysia dalam produk khas mereka untuk kempen kesedaran terhadap penjagaan mata.
Menurut UCSI, karya pelajar jurusan Reka Bentuk Grafik Prisca Misyel Wewengkang, 19, terpilih dan akan diabadikan pada kit kebajikan keluaran khas syarikat itu sempena kempan ‘Caring For Sight’ 2021, bermula Oktober ini.
Prisca menwarkan 39 peserta lain dan membawa pulang wang tunai RM1,000 dengan rekaan seorang kanak-kanak lelaki bersama gitar, merenung ke langit pada waktu malam.
Pengurus Besar Jenama L’OCCITANE Malaysia, Elida Wong berkata, pertandingan Caring For Sight Design merupakan usaha syarikat agar pelajar dapat merasai sendiri pengalaman terlibat dengan industri melalui projek rekaan.
Beliau berkata, syarikat sangat kagum dengan kreativiti pelajar UCSI yang diterjemahkan dalam pertandingan anjuran kami tahun lalu dan platform untuk para pelajar menyalurkan bakat dalam membantu mereka yang mengalami gangguan penglihatan bagi mendapatkan rawatan mata.
“Melaui kempen ini kami mengumpul dana untuk membantu rakyat Malaysia yang mengalami masalah mata, selain memberi kesedaran dan usaha ini berterusan sejak 2009 lagi,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Wong, L’OCCITANE Malaysia telah membantu lebih 39,000 rakyat negara ini menerima rawatan mata yang baik dengan nilai sumbangan lebih RM844,000.
Sementara itu, Pensyarah Institut Seni dan Reka Bentuk Kreatif UCSI (ICAD), Muhammad Batholullah A. Aziz berbangga dengan kemahiran dan kreativiti yang ditonjolkan para pelajarnya.
“Secara tak langsung mereka telah mendapat pengalaman berharga yang saya percaya akan memberi lebih inspirasi kepaa mereka pada masa depan untuk mengaplikasikannya dalam dunia pekerjaan kelak,” katanya. – UTUSAN










