Hong Seng peroleh kontrak RM112.32 juta bekal alat PCR - Utusan Malaysia

Hong Seng peroleh kontrak RM112.32 juta bekal alat PCR

Christopher Chan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hong Seng Consolidated Berhad (Hong Seng) telah mengumumkan Pantasniaga Sdn. Bhd. (Pantasniaga), anak syarikat yang dimiliiki 51 peratus menerusi anak syarikat milik penuhnya, HS Bio Sdn. Bhd. (HS Bio), telah menerima surat penghargaan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membekalkan ujian reaksi berantai polimerase (PCR) dengan nilai kontrak keseluruhan bernilai RM112.32 juta.

Menurut syarikat itu, ia adalah kontrak terbesar yang diterima Pantasniaga setakat ini setelah memperoleh kontrak bernilai RM34.3 juta daripada KKM pada 3 Februari lalu.

Ujarnya, pembekalan alat ujian PCR itu adalah untuk Institut Penyelidikan Perubatan dan Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu, Sabah. Kontrak itu dijangka bermula pada 26 Julai 2021 dan selesai pada 25 Julai 2022.

Mengulas mengenai perkara itu, Pengarah Eksekutif Hong Seng, Christopher Chan berkata, kontrak terbaharu itu adalah bukti komitmen pihaknya untuk menyediakan ujian Covid-19 yang berkesan di negara ini.

“Sebelumnya, Pantasniaga telah melakukan dan memenuhi beberapa kontrak pembekalan untuk KKM dan agensi kerajaan Malaysia yang lain untuk membekalkan alat ujian PCR di Semenanjung Malaysia dan Sabah untuk memerangi wabak tersebut.

“Saya berharap ia dapat memberikan sumbangan positif kepada pendapatan keseluruhan kami di masa hadapan dan pendapatan setiap saham Kumpulan ini,” katanya dalam kenyataan.

Pantasniaga merupakan perniagaan yang menyediakan alat ujian PCR dan makmal ujian yang ditubuhkan untuk agensi kerajaan dan perubatan.

Syarikat itu juga merupakan wakil dan pengedar sah untuk BGI Genomics Co. Ltd., yang merupakan penyedia perkhidmatan genomik dan proteomik terkemuka di dunia.

Sementara itu, HS Bio pula adalah syarikat bekalan kesihatan bersepadu yang menyediakan pelbagai produk dan perkhidmatan perubatan serta penjagaan kesihatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN