gateway@klia2 tawar khidmat beli-belah pandu lalu, pembeli peribadi - Utusan Malaysia

gateway@klia2 tawar khidmat beli-belah pandu lalu, pembeli peribadi

Peluang membeli belah di klia2 melalui perkhidmatan pandu lalu dan pembeli peribadi. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gateway@klia2 telah memperkenalkan perkhidmatan pandu lalu dan pembeli peribadi (personal shopper) dalam usaha mengurangkan kontak rapat berikutan pandemik Covid-19.

Perkhidmatan itu bertujuan berhubung semula dengan pelanggan dan menyediakan pengalaman membeli belah yang selesa, selamat dan bersih.

Ketua Pegawai Eksekutif WCT Malls Management, Selena Chua berkata, pandemik Covid-19 telah mempengaruhi industri runcit dengan ketara.

“Sementara kami menjaga kesejahteraan dan keselamatan pembeli, kami percaya penting untuk kami menyesuaikan diri dengan menginovasi perkhidmatan serta memberikan ketenangan fikiran kepada pembeli melalui pengalaman membeli belah yang selamat.

“Langkah-langkah keselamatan dan kebersihan yang ketat turut dipastikan sepanjang proses itu dan pembersihan serta sanitasi juga dilakukan di semua titik sentuhan,” katanya dalam kenyataan.

Pembeli digalakkan membuat pra pesanan barangan runcit, keperluan makanan dan minuman (F&B) secara langsung daripada penyewa yang mengambil bahagian atau menerusi pembeli peribadi lapangan terbang itu menerusi talian WhatsApp di 011-57600443.

Menurut WCT Mall Management, pembeli peribadi akan membantu pembeli memeriksa dan membeli barang tersebut bagi pihak pelanggan, dan kemudian pelanggan boleh memandu dan mengambil barang mereka di pintu ketibaan 2.

Dengan cara itu, pembeli boleh menikmati pengalaman membeli belah yang selamat dengan interaksi yang minima dari keselesaan kenderaan mereka, katanya.

Antara kedai dan restoran yang mengambil bahagian termasuk,  Jaya Grocer, Family Mart, Watsons, Guardian, Auntie Anne’s, Gong Cha dan Aerotel.

Jelasnya, setelah sekatan perjalanan berakhir, lebih ramai penyewa boleh meneruskan perniagaan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa sekali gus membolehkan pembeli menikmati perkhidmatan itu di lebih banyak kedai runcit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×