CERDIK: Duopharma sumbang RM1juta - Utusan Malaysia

CERDIK: Duopharma sumbang RM1juta

Majlis penyerahan sumbangan peranti oleh Duopharma Biotech Berhad di Batu Pahat, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat farmaseutikal dan penjagaan kesihatan, Duopharma Biotech Berhad (Duopharma) menyumbang sebanyak RM1 juta kepada program CERDIK, bagi menyediakan 646 peranti pintar untuk pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.

CERDIK merupakan inisiatif rintis tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC), untuk membantu keluarga berpendapatan rendah menyesuaikan diri dengan norma baharu pembelajaran di dalam talian.

Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, usaha merapatkan jurang digital dan menggalakkan pembelajaran digital adalah di antara langkah pemangkin utama yang diperlukan untuk membina platform pembangunan bakat penting menyeluruh, yang akan membantu memacu pertumbuhan mampan negara menjadi ekonomi digital global.

“Duopharma Biotech gembira kerana dapat menjadi salah satu daripada komponen utama dalam usaha padu menjayakan projek rintis ini bagi meningkatkan lagi akses digital dan pembelajaran jarak jauh jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.

Sehingga hari ini, hampir 69,000 peranti pintar telah diagihkan oleh GLC/GLIC ke pelbagai Jabatan Pendidikan Negri menerusi Yayasan Hasanah.

Bakinya dijangka akan diagihkan secara berperingkat dan selesai menjelang penghujung September ini.

Projek rintis itu telah dibiayai sepenuhnya melalui sumbangan GLC/GLIC dan syarikat-syarikat korporat, mengikut proses tadbir urus yang sewajarnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Shahira Ahmed Bazari berkata, CERDIK menyediakan peranti pintar yang berkualiti dan diyakini untuk tujuan pembelajaran kepada para pelajar, dan disertakan dengan bantuan teknikal, penyambungan serta waranti.

“Walaupun terpaksa berdepan dengan kesukaran untuk mendapatkan bekalan komputer riba berkualiti, namun inisiatif CERDIK ini berjaya menepati garis masa yang ditetapkan untuk menyerahkan peranti pintar berkenaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN