LONDON: Nilai bitcoin telah kembali meningkat pada tahap melebihi AS$30,000 (RM126,960) yang dilihat sebagai kunci sokongan utama oleh beberapa pedagang mata wang kripto.
Mata wang digital terbesar, bitcoin telah meningkat sebanyak 3.4 peratus kepada AS30,800 (RM130,345.60) pada pagi Rabu di London. Kripto lain termasuk Ether dan Dogecoin turut mencatat peningkatan, sementara Indeks Crypto Galaxy Bloomberg juga berada di paras yang baik.
Ketua Penganalisis Pasaran Ava Trade Ltd., Naeem Aslam berkata, pasaran takut jika nilai Bitcoin cecah di bawah AS$30,000 (RM126,960), harganya akan turun lebih rendah.
“Namun, itu bukan apa yang berlaku sekarang. Harga bitcoin telah stabil dan tiada penjualan panik dilakukan setakat ini,” katanya.
Reuters melaporkan, bitcoin dan mata wang kripto yang lain telah jatuh sejak pertengahan Mei, menghapuskan kira-kira AS$1.3 trilion (RM5.50 trilion) dari nilai pasaran mereka.
Bitcoin telah menghadapi pelbagai halangan termasuk peningkatan pengawasan peraturan di China, Eropah dan Amerika Syarikat (AS) selain kebimbangan berhubung dengan tenaga yang diperlukan oleh komputer untuk menyokongnya.
Secara amnya, pelabur kini lebih berhati-hati dengan aset spekulatif.
Bagaimanapun, Aslam menjelaskan bitcoin mungkin masih akan menguji tahap sokongan AS$25,000 (RM105,800) dalam beberapa minggu akan datang.
Prestasi Bitcoin tahun ini telah menyusut sekitar enam peratus berikutan penurunan dari rekod April hampir cecah AS$65,000 (RM275,080). Itu dibandingkan dengan lonjakan 15 peratus dalam indeks S&P 500 pada tahun ini.
Penyokong berpendapat mata wang maya itu menawarkan lindung nilai inflasi dan akan mendapat penerimaan institusi yang lebih luas.
Naratif seperti itu disifatkan sebagai kontroversial dan kini menjadi persoalan, walaupun peminat bitcoin terus meramalkan pulangan jangka panjang yang besar.
Sementara itu, Penganalisis pasaran Amerika di Oanda dalam satu catatan berkata, peraturan dan kebimbangan persekitaran mungkin akan menjadikan pelaburan bitcoin perlahan, tetapi peningkatan dalam kedua-dua bidang itu harus berlaku sebelum akhir tahun ini.
“Pelabur institusi sudah bersedia untuk meletakkan taruhan jangka panjang yang besar sekiranya penurunan ke arah AS$20,000 (RM84,640) dapat dielakkan,” katanya. – AGENSI










