Bangunkan bakat untuk pacu pertumbuhan ekonomi - Utusan Malaysia

Bangunkan bakat untuk pacu pertumbuhan ekonomi

KERAJAAN perlu memastikan peluang perolehan khusus untuk bumiputera diberikan kepada syarikat bumiputera tulen bagi mengelakkan amalan rasuah dan ali baba terus berleluasa dan menggagalkan agenda bumiputera. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIDANG KEMUNCAK EKONOMI MALAYSIA 2021

PETALING JAYA: Modal insan dan bakat yang dimiliki dalam negara perlu diutamakan dan dibangunkan kerana ia berpotensi untuk menjadi pemacu dalam pertumbuhan ekonomi.

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif GigxGlobal, Shareen Shariza Abdul Ghani berkata, modal insan perlu diberi lebih perhatian kerana pertumbuhan sesebuah organisasi, syarikat atau negara didorong oleh orang-orang yang berada di dalamnya.

“Kita perlu sentiasa mencari bakat-bakat tersembunyi yang memerlukan dorongan untuk mencapai potensi sebenar diri selain melabur untuk mengembangkan bakat yang sedia ada.

“Memandangkan negara melaksanakan sekatan perjalanan, kita patut menggunakan peluang itu dengan memanfaatkan bakat-bakat yang cekap dan berkemahiran dalam bidang teknologi sebelum mereka membuat keputusan untuk mencari peluang di luar negara kelak,” katanya dalam Sidang Kemuncak Ekonomi Malaysia 2021 anjuran Strategic Institute for Asia Pacific (KSI) secara maya, hari ini.

Ujarnya, kemahiran jenis apa yang perlu dibangunkan juga perlu dikenalpasti mengikut kesesuaian zaman.

Shareen adalah antara panelis pada sesi bertajuk Mengubah Pemacu Pertumbuhan Ekonomi – Kes untuk Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, kehadiran pekerja asing yang tidak berkemahiran juga merupakan antara salah satu kebimbangan negara.

Shamsuddin yang merupakan antara panelis untuk sesi itu menjelaskan, namun begitu, kini, pengurangan dalam jumlah pekerja asing di dalam negara menunjukkan usaha industri untuk mengubah keadaan dalam tenaga kerja.

“Kita sememangnya tidak perlu terlalu bergantung kepada pekerja asing dan memberi peluang pekerjaan itu kepada penduduk negara berikutan kadar pengangguran yang tinggi.

“Namun, saya sedar kadang-kala orang yang mencari peluang pekerjaan memilih untuk tidak mengambil pekerjaan yang bukan tetap kerana gajinya yang kecil,” jelasnya.

Namun, beliau berpendapat, untuk yang baru pertama kali memasuki pasaran pekerjaan adalah lebih baik untuk mengambil apa-apa peluang yang ada dan meningkatkan pengalaman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN