PETALING JAYA: AIA Malaysia menjalin kerjasama strategik jangka panjang dengan TNG Digital Sdn. Bhd. (TNG Digital) pemilik Touch ‘n Go eWallet.
Di bawah kerjasama itu, AIA akan menyediakan penyelesaian insurans digital yang inovatif dan diperibadikan bagi memenuhi keperluan perlindungan lebih daripada 16 juta pelanggan Tounh ‘n Go eWallet di seluruh negara, sekali gus memperkukuhkan lagi komitmen syarikat insurans tersebut dalam inovasi digital dan pasaran Malaysia.
AIA juga akan membuat pelaburan ekuiti minoriti dalam TNG Digital.
Keua Pegawai Eksekutif AIA, Ben Ng berkata, kerjasama itu memperkukuhkan komitmen syarikat dalam memperkenalkan produk baharu dan inovatif untuk dipasarkan dalam dunia yang serba digital.
Beliau berkata, keperluan insurans kian meningkat ketika berlakunya pandemik dan syarikat perlu sentiasa berusaha memperluaskan perkhidmatan di samping memberikan pilihan yang lebih baik kepada pengguna.
“Ini akan membolehkan mereka mendapatkan perlindungan yang tepat, bersesuaian dengan peringkat kehidupan mereka, melalui caya yang mereka mahukan dan pada masa yang sesuai,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, kerjasama dengan rakan digital yang terbaik di pasaran memberi peluang kepada AIA untuk menawarkan pelanggan Touch ‘n Go eWallet penyelesaian insurans yang boleh dibeli secara langsung dalam talian dan melalui 19,000 agensi AIA yang berkelayakan.
“Kami teruja dengan potensi yang ditawarkan menerusi kerjasama ini yang pada masa sama memberi peluang kepada kami untuk membina hubungan jangka panjang dengan pelanggan Touch ‘n Go eWallet dan membantu mereka Hidup Lebih Sihat, Berpanjangan dan Bermakna,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Touch ‘n Go Group, Effendy Shahul Hamid berkata, insurans adalah tonggak utama untuk syarikat terus berkembang dalam perkhidmatan kewangan.
“Kami berharap dapat bekerjasama dengan AIA untuk mengukuhkan lagi segmen ini dan memberikan produk dan perkhidmatan yang lebih baik dan relevan kepada pengguna Touch ‘n Go eWallet.
“Kami juga mengalu-alukan penyertaan strategik AIA sebagai pemegang saham syarikat Touch ‘n Go eWallet. Penglibatan mereka bertepatan dengan evolusi berterusan kami untuk meneroka perkhidmatan kewangan dengan lebih mendalam,” kata beliau. – UTUSAN











