Ubah strategi ke arah pemulihan - Utusan Malaysia

Ubah strategi ke arah pemulihan

PEMULIHAN ekonomi negara terus berdepan ketidaktentuan apabila banyak sektor ekonomi masih ditutup berikutan penularan wabak Covid-19. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu mencari inisiatif baharu dan mengubah strategi dalam mengekang wabak Covid-19 untuk kelangsungan hidup rakyat dan pertumbuhan ekonomi negara.

Setiausaha Agung Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia, Datuk Dr. A.T Kumararajah berkata, sudah tiba masanya kerajaan mengubah strategi dan membuat persediaan ke arah pemulihan.

“Tidak berbaloi jika orang ramai dikenakan sekatan perjalanan jika akhirnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilakukan tiada hasilnya.

“Kerajaan harus menggunakan pendekatan endemik berbanding pandemik yang memfokuskan kepada sesuatu kawasan atau daerah tertentu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jelasnya, sebagai contoh, negeri atau daerah yang kesnya tidak tinggi dan tidak berbahaya dibenarkan untuk beralih ke fasa pemulihan dan bukannya harus terus menunggu.

Selain perkara itu, Kumararajah memberitahu, baru-baru ini pihaknya juga telah membentangkan beberapa cadangan lain kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi membantu perusahaan-perusahaan yang terkesan teruk berikutan pandemik Covid-19.

Menurutnya, antara cadangan utama lain yang dibentangkan ialah, penggunaan pendekatan rantai nilai dan penubuhan syarikat tujuan khas (SPV).

“SPV yang disokong oleh kerajaan patut diwujudkan berdasarkan pengalaman dan kepakaran yang ada seperti waktu negara menghadapi krisis kewangan pada 1998 dan 1998 serta tahun 2008 dan 2019.

“Sekiranya ia ditubuhkan, kami menjangka ia akan memanfaatkan kira-kira 260,000 PMKS,” jelasnya.

Bagi pendekatan rantai nilai pula, ujarnya, sistem operasi waktu pandemik patut diubah kerana semua jenis perniagaan adalah penting terutamanya PKMS.

Kumararajah berkata, tidak logik sekiranya PKMS tidak dianggap penting kerana satu-satunya sumber pendapatan mereka adalah dari perusahaan itu. Tanpanya mereka tidak dapat meneruskan kelangsungan hidup.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman akui, keadaan kebanyakkan PKMS kini semakin menggusarkan dan harapan mereka semakin malap.

“Kami sudah pasrah dan tertekan. Hanya boleh berharap kerajaan akan melakukan sesuatu yang berbeza bagi membalas pengorbanan rakyat dan golongan PKMS,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN