PETALING JAYA: Orang ramai kini boleh mendapatkan pelbagai rangkaian produk penjagaan diri dan kesihatan di rangkaian kedai MR D.I.Y.
Naib Presiden Pemasaran MR D.I.Y Group, Andy Chin berkata, ia merangkumi sebanyak 69 produk daripada pelbagai jenama boleh dipercayai, termasuk vitamin dan makanan tambahan, produk sanitari, penjagaan kebersihan diri, rawatan penjagaan oral, ubat-ubatan, produk perancang keluarga serta barangan keperluan berkaitan Covid-19.
Beliau berkata, senarai produk itu melengkapi lima lagi kategori produk yang boleh didapati di semua cawangan MR D.I.Y iaitu perkakasan, keperluan rumah dan perhiasan, produk elektrik, alat tulis, kelengkapan sukan dan lain-lain.
“Matlamat kami adalah untuk menjadi pusat sehenti bagi barangan keperluan harian rakyat Malaysia. Ini dapat dicapai dengan mendekati para pelanggan dan mengenal pasti apa yang paling mereka perlukan di “Always Low Prices”.
“Dengan begitu banyak perbelanjaan yang perlu ditanggung, sudah pasti pelanggan mahukan pembelian yang menawarkan nilai untuk lebih banyak barangan keperluan isi rumah.
“Kami ingin membantu pelanggan mendapatkan lebih nilai bagi wang mereka, dan rangkaian (produk penjagaan diri & kesihatan) ini mampu mewujudkan banyak perbezaan dalam perbelanjaan bulanan mereka,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, MR D.I.Y. bekerjasama dengan para pembekal untuk menghasilkan rangkaian lengkap produk penjagaan diri dan kesihatan yang paling sesuai untuk memenuhi keperluan semua ahli keluarga.
Rangkaian produk yang diperkenalkan merangkumi produk-produk untuk bayi, kanak-kanak serta orang dewasa. – UTUSAN










