Perbelanjaan pelancongan domestik merosot 60.8 peratus tahun lalu - Utusan Malaysia

Perbelanjaan pelancongan domestik merosot 60.8 peratus tahun lalu

SEKTOR pelancongan negara terjejas teruk apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bagi mengawal penularan pandemik Covid-19. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbelanjaan pelancongan domestik pada tahun lalu merosot 60.8 peratus kepada RM40.4 bilion daripada RM103.2 bilion, 2019.

Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, ia adalah kejatuhan pertama sejak 2008 apabila Jabatan Perangkaan mula menyusun statistik Survei Pelancongan Domestik.

Beliau berkata, langkah melaksanakan sekatan pergerakan akibat penularan pandemik Covid-19 telah menjejaskan aktiviti pelancongan domestik di negara ini pada tahun lalu.

“Secara keseluruhan, ketibaan pelawat domestik merosot 44.9 peratus dengan merekodkan 131.7 juta pelawat berbanding 239.1 juta pelawat pada tahun 2019, mengakibatkan penurunan 60.8 peratus dalam jumlah perbelanjaan dengan mencatatkan RM40.4 bilion berbanding RM103.2 bilion pada tahun sebelumnya,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Mohd. Uzir, prestasi rendah bagi perbelanjaan pelancongan domestik didorong oleh penurunan jumlah perbelanjaan oleh pelancong dan pelawat harian sebanyak -65.9 peratus dan -51.1 peratus. 

Jelasnya, ia selari dengan pertumbuhan negatif bagi volum pelawat harian (-44.7 peratus) dan pelancong (-45.4 peratus). 

“Dari segi volum jumlah perjalanan, pelawat domestik telah melakukan 147.0 juta perjalanan di dalam negara, menurun 55.8 peratus berbanding 2019.

“Pada 2020, membeli-belah mencatatkan peratus sumbangan tertinggi daripada keseluruhan jumlah perbelanjaan yang telah dibuat oleh pelawat domestik untuk perjalanannya dengan sumbangan 52.6 peratus, diikuti makanan & minuman (18.6 peratus) dan bahan api kenderaan (9 peratus),” katanya.

Mohd. Uzir berkata, Selangor adalah negeri yang paling ramai dikunjungi oleh pelawat domestik pada 2020 iaitu sebanyak 19.7 juta pelawat, diikuti Perak (13.2 juta), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (12.4 juta), Sabah (10.3 juta) dan Kedah (10.1 juta). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN