PETALING JAYA: Pemegang saham Leon Fuat Berhad (Leon Fuat) meluluskan resolusi untuk Supreme Steelmakers Sdn. Bhd, subsidiari milik penuh Kumpulan, mengambil alih kilang berharga RM28 juta di Kajang, milik Leon Fuat Holdings Sdn. Bhd.
Pengambil alihan itu turut melibatkan gudand dan pejabat di atas sebidang tanah pegangan bebas di lokasi terbabit.
Leon Fuat merupakan pengeluar dan pedagang produk keluli khusus dalam produk panjang bergelung dan rata, sementara Leon Fuat Holdings pula merupakan syarikat persendirian.
Leon Fuat dalam kenyataan memberitahu, kelulusan tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-14 dan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 yang diadakan secara maya.
Katanya, resolusi lain yang diluluskan termasuk pemilihan semula Ng Kok Teong dan Ooi Shang How sebagai Pengarah Eksekutif di dalam Lembaga Pengarah Kumpulan. Kedua-duanya dijadualkan bakal bersara.
“Para pemegang saham juga mengundi untuk mengekalkan Chan Kee Loin sebagai Pengarah Bebas, manakala Datuk Ng Ah Hock @ Ng Soon Por, Tan Did Heng dan Tan Sack Sen dikekalkan sebagai Pengarah Bebas di dalam Lembaga Pengarah.
“Para pemegang saham juga memilih untuk melantik semula Baker Tilly Monteiro Heng PLT sebagai auditor Kumpulan dan memberi kuasa kepada pengarah untuk menetapkan ganjaran bagi
auditor,” katanya dalam kenyataan itu.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Leon Fuat, Calvin Ooi berkata, pihaknya gembira AGM dan EGM berlangsung lancar dan para pemegang saham gembira dengan prestasi Kumpulan pada tahun lalu walaupun berdepan cabaran-cabaran terhadap persekitaran operasi.
“Kami percaya Kumpulan akan dapat mengekalkan perniagaan berdasarkan prestasi memuaskan pada suku pertama berakhir 31 Mac 2021.
“Bagaimanapun, kami terus berwaspada kerana kadar jangkitan Covid-19 masih tinggi dan tidak boleh mengenepikan kemungkinan aktiviti industri akan perlahan yang boleh menyebabkan penyusutan daripada segi permintaan ke atas produk-produk keluli.
“Kami akan terus mengambil langkah-langkah proaktif bagi menangani sebarang impak negatif sambil memantau harga keluli dan tukaran mata wang asing yang berkaitan,” katanya. – UTUSAN










