MAHB tingkatkan kemudahan saringan Covid-19  - Utusan Malaysia

MAHB tingkatkan kemudahan saringan Covid-19 

MOHD. SHUKRIE MOHD. SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) telah menambahbaik kemudahan penyaringan Covid-19 buat penumpang yang melalui Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) mulai Julai ini.

Menurut syarikat itu, kemudahan tersebut diwujudkan bagi meningkatkan keselesaan dan kemudahan semasa melalui protokol keselamatan yang diperlukan di lapangan terbang.

“Dengan kemudahan itu, pelanggan akan menikmati masa menunggu semasa ketibaan yang lebih pendek kerana ia dapat menghasilkan Covid-19 RTK dan RT- PCR masing-masing dalam masa 15 minit dan 3 jam.

“Kemudahan pemeriksaan itu akan ditempatkan di lapan lokasi iaitu, lima di Terminal Utama KLIA dan tiga di Terminal KLIA 2, dilengkapi dengan ruang rehat yang selesa untuk penumpang semasa menunggu keputusan ujian mereka,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd. Shukri Mohd. Salleh berkata, pihaknya telah bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan yang mempunyai rekod prestasi yang mantap dengan rangkaian kemudahan dan kredibiliti tertinggi dalam perkhidmatan ujian kesihatan.

Jelasnya, pihaknya turut bekerjasama rapat dengan pihak-pihak berkuasa bagi memastikan penyedia perkhidmatan yang dilantik diberi kebenaran oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

“Kami yakin kemudahan baharu itu akan mendorong permintaan perjalanan yang lebih tinggi setelah sempadan dibuka semula.

“Inisiatif itu juga adalah antara inisiatif yang kami laksanakan bagi memastikan standard perkhidmatan di KLIA berada  tahap tertinggi. Kemudahan itu dijangka akan menampung sekitar 40,000 orang penumpang,” kata Mohd. Shukri

Ujarnya, antara kemudahan dan perkhidmatan lain yang akan disediakan termasuk pengiring penumpang dari pintu masuk ke kawasan ujian, perkhidmatan VIP serta kawasan menunggu yang selesa.

Mohd. Shukri memberitahu, kawasan itu dilengkapi dengan komputer, akses internet Wi-Fi, penyewaan Wi-Fi mudah alih, kad SIM telekomunikasi dan tawaran makanan dan minuman (F&B)

Menurut beliau, penumpang juga mempunyai pilihan untuk membayar melalui pelbagai platform bayaran seperti kad kredit, wang tunai, pemindahan dalam talian, tuntutan e-pembayaran dan insurans untuk kemudahan sendiri.

“Kos bagi setiap penumpang adalah dari RM60 hingga RM 250 untuk rakyat Malaysia dan RM90 hingga RM350 untuk warga asing.

“Kami telah melantik BP Clinical Lab untuk menyediakan perkhidmatan dan kemudahan di KLIA kerana ia mempunyai lebih dari 38 tahun pengalaman dalam industri tersebut selain telah berkhidmat kepada banyak agensi kerajaan seperti KKM dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO),” tambah Mohd. Shukri.

Organisasi tersebut kini mempunyai lebih daripada 120 gerai di seluruh negara dan jumlah kakitangan perubatan yang besar.

Sistem pemeriksaan kesehatannya juga digabungkan dengan MySejahtera dan SIMKA (dimiliki oleh Makmal Kesihatan Awam Nasional untuk memantau wabak).

Setakat ini, BP Clinical Lab telah menjalankan ujian Covid-19 untuk lebih 3.5 juta orang. Lebih banyak penyedia perkhidmatan akan dilantik di lapangan terbang antarabangsa lain setelah mendapat kelulusan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN