PETALING JAYA: Lembaga pengarah Serba Dinamik Holdings Berhad telah menerima notis peletakan jawatan KPMG PLT sebagai juruaudit luaran syarikat mengikut Seksyen 281 Akta Syarikat 2016.
Menurut syarikat minyak dan gas dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia, pihaknya menerima notis KPMG bertarikh 23 Jun 2021, berkuat kuasa serta-merta.
“KPMG dalam notis tersebut menyatakan bahawa saman yang difailkan oleh syarikat pada 22 Jun 2021 terhadap mereka berhubung audit berkanun ke atas tempoh kewangan syarikat berakhir 30 Jun 2021 telah menjejaskan kemampuan mereka untuk secara bebas meneruskan penglibatan audit.
“Sehubungan itu, firma audit tersebut melepaskan tugas profesional mereka sebagai juruaudit syarikat.
“Syarikat pada masa ini sedang mengenal pasti juruaudit baharu yang akan dilantik mengikut Seksyen 271 (2) (b) Akta Syarikat 2016 dan akan membuat pengumuman segera mengenai perkara ini sejurus selepas pelantikan juruaudit baharu dimuktamadkan,” jelas Serba Dinamik.
Selasa lalu, Serba Dinamik mengumumkan yang syarikat telah memfailkan tuntutan sivil ke atas KPMG atas dakwaan cuai di dalam pengauditan sehingga mengakibatkan syarikat menanggung kerugian hampir RM5 bilion dari segi permodalan pasaran.
Menurut syarikat, KPMG dalam proses auditnya telah membangkitkan masalah dalam mendapatkan pelbagai pengesahan daripada pelanggan dan pembekal Serba Dinamik berkenaan pelbagai jenis bayaran dan hutang, termasuk dalam menentukan kewujudan pelanggan dan pembekal tersebut. – UTUSAN










