PETALING JAYA:SunREIT Unrated Bond Berhad (SUB) memberi mandat kepada OCBC Bank (Malaysia) Berhad untuk menjadi penyelaras penstrukturan kelestarian bagi Program Nota Jangka Pertengahan Tanpa Penarafan dengan nilai nominal sehingga RM10 bilion yang bakal diterbitkan.
SUB ialah entiti tujuan khas yang ditubuhkan untuk meraih dana bagi pihak Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT).
Menurut kenyataan bersama syarikat berkenaan, Sunway REIT adalah satu daripada amanah pelaburan hartanah terpelbagai terbesar di Malaysia dengan portfolio 18 aset yang terletak secara strategik di lokasi-lokasi utama di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Perak.
Jelas kenyataan itu, sebagai sebahagian tugasnya, OCBC Bank akan menilai penjajaran agensi kelestarian keseluruhan Sunway REIT, merangkumi inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) menurut prinsip lestari yang digariskan oleh pengawal selia pasaran modal.
Usaha itu katanya, bertujuan menyelaraskan penerbitan sekuriti hutang di bawah program sedia ada, yang akan ditanda aras terhadap piawaian pembiayaan kewangan lestari yang diiktiraf antarabangsa.
Pengarah Urusan, Pegawai Bank Kanan Liputan Pelanggan dan Ketua Perbankan Pelaburan OCBC Bank, Tan Ai Chin berkata, pihaknya berbesar hati diberi peluang menerajui penglibatan pertama Sunway REIT ke dalam dunia pembiayaan lestari.
“Sebagai sebuah institusi kewangan yang menekankan usaha melanjutkan amalan terbaik ESG di dalam Kumpulan dan juga dalam kalangan rakan niaga kami, OCBC Bank berbangga kerana dapat menjalin kerjasama strategik dengan Kumpulan Sunway yang berpegang kepada nilai-nilai kelestarian yang amat kami utamakan dalam Kumpulan OCBC,” katanya dalam kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif Sunway REIT Management Sdn. Bhd., Datuk Jeffrey Ng pula berkata, kelestarian memang sudah sekian lama diterapkan dalam amalan perniagaan syarikat, sebelum pembangunan lestari mula dititikberatkan di Malaysia.
“Amalan kelestarian memang menjadi sebahagian daripada DNA Sunway REIT, yang diterapkan dengan teliti dalam proses penciptaan nilai bagi semua pihak berkepentingan kami, disokong oleh rangka kerja kelestarian berasaskan 17 Matlamat Pembangunan Lestari Bangsa-Bangsa Bersatu,” jelasnya. – UTUSAN










