Geran RM200 juta untuk PKS 3D - Utusan Malaysia

Geran RM200 juta untuk PKS 3D

SME Bank XCESS merupakan inisiatif utama SME Bank dalam menyokong usaha kerajaan bagi mempercepatkan proses pemulihan dan pembangunan sektor PKS negara. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: SME Bank akan menyediakan dana sebanyak RM200 juta di bawah Pembiayaan Padanan Geran Pemerkasa bagi membantu usahawan dari sektor kotor, bahaya dan sukar (3D).

Menurut institusi kewangan itu, dana tersebut akan memberi keutamaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam bidang pembuatan, perkhidmatan, pertanian dan pembinaan yang masih terkesan akibat pandemik Covid-19.

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Aria Putera Ismail berkata, sektor 3D merupakan antara sektor yang memerlukan perhatian dan bantuan daripada institusi kewangan kerana operasi perniagaan mereka tergendala akibat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu.

Kata beliau, Pembiayaan Padanan Geran Pemerkasa akan membolehkan usahawan mendapat pembiayaan sehingga RM1 juta untuk tempoh maksimum 10 tahun dengan kadar keuntungan antara empat peratus hingga lima peratus setahun.

“Untuk setiap pembiayaan yang diluluskan, Kementerian Kewangan akan memberikan padanan geran sehingga maksimum 20 peratus daripada nilai pembiayaan yang diberikan.

“Ini akan membolehkan usahawan PKS membuat pembelian mesin, peningkatan adaptasi teknologi dalam perniagaan dan membantu dalam mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing,” katanya dalam kenyataan semalam.

ARIA PUTERA ISMAIL

Aria Putera menjelaskan, pelanggan SME Bank juga berpeluang mengikuti program bimbingan keusahawanan dan pembangunan kapasiti secara percuma di bawah anak syarikatnya, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd (CEDAR).

Kata beliau, kemudahan pembiayaan itu juga boleh mendapat jaminan sehingga 80 peratus daripada Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP).

“Kami percaya dengan adanya Pembiayaan Padanan Geran Pemerkasa SME Bank ini, transformasi perniagaan sektor 3D seperti yang dirancang kerajaan akan dapat direalisasikan dengan lebih cepat, sekali gus menarik lebih ramai rakyat tempatan untuk menyertai sektor 3D,” katanya.

Maklumat lanjut berkenaan Pembiayaan Padanan Geran Pemerkasa SME Bank boleh didapati di talian Pusat Khidmat Pelanggan Bank (03-26037700) dan laman web rasmi SME Bank di www.smebank.com.my. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN