PETALING JAYA: Ahli akademik dan penyelidik berpengalaman, Datuk Dr. Roziah Omar dilantik sebagai Presiden Universiti Kuala Lumpur yang baharu.
Pelantikan beliau diumumkan oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Azizah Mohd. Dun dalam satu kenyataan.
Azizah berkata, pelantikan Roziah berdasarkan kepada kepakaran, pengetahuan, pengalaman dan pencapaian beliau yang pernah memegang beberapa jawatan utama sebelum ini di peringkat nasional mahupun antarabangsa.
“MARA yakin, beliau akan dapat memacu kecemerlangan UniKL ke tahap yang lebih tinggi sekali gus memastikan visi untuk menjadi sebuah universiti keusahawanan teknikal terunggul dalam negara melalui kecemerlangan dalam penyelidikan, pendidikan, latihan, keusahawanan, konsultasi dan khidmat masyarakat tercapai,” katanya dalam kenyataan berkenaan.
Roziah mendapat Ijazah Sarjana Muda dari Jabatan Antropologi dan Sosiologi , Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM) pada 1980.
Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian ke Amerika Syarikat di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah. Pada 1992, beliau telah dianugerahkan ijazah kedoktoran oleh University of California, Berkeley, Amerika Syarikat.
Selain itu, beliau juga telah menghadiri kursus di Harvard University pada 2003 dan Judge Business School, Cambridge University, 2014.
Roziah pernah memegang beberapa jawatan penting dalam bidang pendidikan seperti Timbalan Ketua Pengarah Institusi Pendidikan Swasta (IPTS) di Kementerian Pengajian Tinggi.
Beliau turut memegang beberapa jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah universiti seperti Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Universiti Perguruan Sultan Idris Shah (UPSI), UM, Kolej-Poly Tech MARA (KPTM) dan lain-lain.
“Saya yakin Presiden UniKL yang dilantik ini mempunyai ketokohan, keupayaan, kepakaran dan pengalaman yang luas dalam bidang pendidikan sekali gus dapat menjalankan tugas dengan
sebaiknya serta dapat memperkukuhkan lagi kedudukan UniKL di dalam senarai antara universiti terbaik di Asia dan dunia,” kata Azizah.
UniKL merupakan institusi pendidikan milik penuh MARA, kini mempunyai 13 kampus di seluruh negara. – UTUSAN









