Daftar vaksin, EasyParcel tawar penghantaran percuma - Utusan Malaysia

Daftar vaksin, EasyParcel tawar penghantaran percuma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: EasyParcel, sebuah syarikat penyelesaian penghantaran e-dagang, menggalakkan orang ramai untuk divaksin menerusi Kempen Pemvaksinan EasyParcel x Pgeon.

Berlangsung dari 28 Jun hingga 31 Ogos 2021, kempen ini menawarkan 50,000 penghantaran percuma kepada warga Malaysia yang mendaftar untuk pemvaksinan Covid-19.

Menurut syarikat berkenaan, jumlah penghantaran tersebut bersamaan dengan 25 penghantaran keseluruhan bagi setiap seorang.

“Usaha sama dengan Pgeon ini dilaksanakan dengan matlamat untuk menggalakkan rakyat Malaysia mendapatkan vaksin sebagai satu usaha bersepadu bagi mencapai keimunan kelompok,” katanya dalam kenyataan.

Jelas EasyParcel, usaha pemvaksinan secara besar-besaran tidak dapat dinafikan akan membantu negara untuk mengekalkan sistem penjagaan kesihatan yang akan menguruskan ancaman-ancaman yang timbul daripada Covid-19 dengan mengurangkan kematian dan kemasukan pesakit ke hospital.

Menyahut hasrat ini, katanya, kempen Pemvaksinan EasyParcel x Pgeon bermatlamat untuk mempromosikan pemvaksinan kepada seramai mungkin rakyat Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif EasyParcel, Clarence Leong berkata, peningkatan bilangan kes Covid-19 menjejaskan kesejahteraan ekonomi dan ia juga menjadi batu penghalang kepada pemulihan semula ekonomi yang merosot sejak wabak ini melanda.

“Kempen ini dilancarkan bukan sahaja untuk menggalakkan pekerja-pekerja syarikat tetapi juga bagi menggalakkan semua daripada kita di luar sana untuk divaksin bagi menurunkan bilangan kes sebagai warganegara yang bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata, penghantaran percuma EasyParcel boleh menjadi titik permulaan kepada usahawan-usahawan membawa perniagaan mereka ke dalam talian, terutama bagi mereka yang mahu mengurangkan kos.

Inisiatif itu katanya, akan menggalakkan orang ramai untuk menjual produk-produk mereka secara dalam talian di samping membantu mereka melakukan penghantaran bungkusan dari kediaman mereka tanpa perlu bersusah-payah untuk keluar rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh.

“Jika anda menghantar hanya satu bungkusan daripada 25 penghantaran percuma yang anda terima sekalipun, anda tetap akan menikmati khidmat kutipan percuma di rumah yang dilakukan oleh Pgeon,” jelasnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN