PETALING JAYA: AEON Co. (M) Bhd. memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) berjumlah RM251 juta tahun ini, dengan 40 peratus daripadanya bagi memperkukuh infrastruktur teknologi kumpulan.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shafie Shamsuddin berkata, baki jumlah peruntukan pula akan disalurkan untuk pengubahsuaian, penyelenggaraan dan pembentukan semula kedai dan pusat beli-belah kumpulan.
Ujarnya, kumpulan juga akan membuka 13 kedai khas baharu tahun ini selain menjalankan kerja pengubahsuaian dan sebagainya pada 11 pusat beli-belahnya.
“Bagi menyesuaikan diri dengan keadaan semasa, kumpulan turut menceburkan diri dalam e-dagang dengan perkhidmatan penghantaran pesanan terus ke rumah pelanggan. Sejak diperkenalkan, kami telah membantu kira-kira 800,000 pelanggan dan ini merupakan proses pembelajaran terbaik bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kami.
“Kami menyasarkan segmen tersebut untuk menyumbang 15 peratus pendapatan kumpulan dalam lima tahun akan datang. Untuk tahun ini, segmen e-dagang mungkin menyumbang dua peratus daripada pendapatan keseluruhan,” katanya dalam sidang akhbar secara maya selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-36 AEON, semalam.
Menurut Shafie, prospek perniagaan runcit tahun ini agak mendatar berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan mengharapkan prestasi lebih baik dengan program vaksinasi yang masih berlangsung.
“Selain itu, bagi menyokong penyewa premis dalam tempoh sukar ini, kumpulan turut memberi bantuan dari segi potongan harga sewa dan memberi kelonggaran untuk mereka melunaskan bayaran sewa secara ansuran hingga tempoh masa tertentu,” katanya.
Dari segi prestasi kewangan, untuk suku pertama berakhir 31 Mac 2021, keuntungan bersih peruncit meningkat hampir tiga kali ganda kepada RM22.03 juta daripada RM7.47 juta tahun lalu.
Bagaimanapun, pendapatan suku tahun menyusut 14.89 peratus kepada RM1.01 bilion daripada RM1.19 bilion sebelumnya, disebabkan penurunan pendapatan terutama daripada kategori makanan.
Sementara itu, Pengerusi AEON, Datuk Iskandar Sarudin memaklumkan, tahun kewangan 2020 adalah tahun yang paling mencabar namun kumpulan bertindak pantas menyesuaikan diri dengan keadaan semasa.
“Setelah mengambil kira prestasi keuntungan kami, tahap tunai dan pinjaman, para pemegang saham telah memilih untuk meluluskan dividen akhir sebanyak 1.5 sen sesaham biasa untuk tahun berakhir 31 Disember 2020.
“Jumlah keseluruhan yang perlu dibayar sebanyak RM21 juta mewakili nisbah pembayaran sebanyak 50.8 peratus daripada keuntungan syarikat untuk tahun ini,” jelasnya. – UTUSAN










