PETALING JAYA: Hong Leong Bank Berhad (HLB) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM2.17 bilion untuk sembilan bulan pertama tahun kewangan 2021 berakhir 31 Mac lalu, peningkatan 12.8 peratus berbanding RM1.93 bilion yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu.
Bank itu turut mencatat keuntungan bersih yang lebih tinggi untuk suku ketiga, sebanyak RM771.47 juta berbanding RM543.79 juta pada suku sama tahun lalu.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Domenic Fuda berkata, prestasi memberangsangkan HLB adalah hasil disiplin berterusannya dalam melaksanakan strategi, pengurusan kos yang cermat, pertumbuhan pinjaman dan pengewangan berdisiplin serta pengurusan proaktif klien yang menghadapi gangguan aliran tunai atau pendapatan disebabkan pandemik.
Sehubungan itu, kata beliau, pinjaman dan pengewangan kasarnya meningkat 7.3 peratus tahun ke tahun apabila aktiviti ekonomi melonjak semula, dipandu oleh perbelanjaan sektor awam dan swasta yang meningkat bersama pendanaan yang dikeluarkan untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perniagaan korporat.
“Selain menyediakan bantuan yang diperlukan kepada pelanggan, kami juga secara rapat dan konsisten memantau kualiti aset, menamatkan suku tahun dengan nisbah pinjaman susut nilai kasar (GIL) yang stabil pada 0.53 peratus.
“Dalam menghadapi cabaran seterusnya dalam proses pemulihan, HLB kekal cermat dan membina penimbal susut nilai awal tambahan dalam suku tersebut,” katanya dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia semalam.
Kedudukan modal dan kecairan HLB kekal baik dengan nisbah ekuiti biasa Tier 1 (CET 1), Tier 1 dan jumlah modal stabil pada 13 peratus, 13.5 peratus dan 15.7 peratus masing-masing sementara nisbah pinjaman kepada deposit (LDR) dan nisbah liputan kecairan (LCR) diuruskan dengan cermat pada 83.6 peratus dan 147.7 peratus masing-masing.
Jumlah pendapatannya untuk sembilan bulan pertama meningkat 15.4 peratus tahun ke tahun kepada RM4.14 bilion, disokong oleh perkembangan dalam pinjaman/pengewangan dan pengurusan aset-liabiliti yang cermat.
Lapor bank itu lagi, pendapatan faedah bersihnya meningkat untuk suku ketiga berturut-turut kepada RM1.10 bilion untuk suku ketiga, meningkat 30.6 peratus tahun ke tahun hasil usaha berterusannya dalam menguruskan kos pendanaan dan pengembangan pinjaman/pengewangan.
“Sehubungan itu, untuk sembilan bulan pertama 2021, pendapatan faedah bersih adalah 20.4 peratus lebuh tinggi tahun ke tahun pada RM3.17 bilion,” katanya. – UTUSAN










