Umat Islam di Malaysia dan juga serata dunia, baru sahaja selesai meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri. Seperti tahun sebelumnya, ia disambut di dalam suasana norma baharu ekoran daripada pandemik Covid-19. Tiada lagi aktiviti-aktiviti yang menjadi kelaziman kita seperti pulang ke kampung dan ziarah menziarahi di hari raya. Solat sunat Aidilfitri di masjid juga terpaksa dihadkan dan kebanyakan daripada kita menunaikannya di rumah masing-masing sahaja.
Menjadi kewajipan bagi ketua keluarga untuk menunaikan pembayaran zakat fitrah di sepanjang bulan Ramadan dan ia perlu disempurnakan sebelum solat sunat Aidilfitri. Kebiasaannya, zakat fitrah dibayar secara tunai dan kendiri melalui amil-amil yang dilantik oleh pusat zakat. Secara tradisinya, amil-amil ini akan membuka kaunter di masjid-masjid dan reruai di kawasan-kawasan tumpuan umum untuk memudahkan masyarakat muslim menunaikan kewajipan zakat fitrah tersebut. Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), terdapat kerumitan bagi kita untuk membayar zakat fitrah dengan cara ini.
Namun, di setiap cabaran dan kesusahan, pasti akan ada ruang bagi kemudahan mahupun peluang-peluang baharu untuk diterokai. Kekangan yang disebabkan oleh Covid-19 telah menyebabkan peningkatan bayaran zakat fitrah secara dalam talian. Ramai juga yang baru pertama kali membayar zakat menggunakan kaedah ini. Kemungkinan norma baharu ini akan berterusan walaupun telah selesai pandemik Covid-19 kelak kerana ia ternyata lebih mudah, tiada batasan masa dan boleh dilakukan di mana sahaja selagi kita mempunyai capaian internet. Ini dapat dilaksanakan dengan menyeluruh dengan adanya kemajuan teknologi di samping tahap kesedaran informasi teknologi yang tinggi serta pemilikan telefon pintar yang meluas di kalangan masyarakat.
Teknologi bukan sahaja terbatas kepada penambahbaikan cara berurusan, malah ia boleh menghasilkan transformasi kepada sesebuah organisasi. Satu contoh yang baik adalah usaha Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menerapkan penggunaan teknologi dalam meningkatkan kutipan dan pengagihan wang zakat. Dengan menggunakan aplikasi ‘Zakat on Touch’ (ZOT) yang dibina oleh kakitangannya sendiri, LZNK telah membuktikan bahawa dengan menggunakan teknologi secara berstrategi mampu mewujudkan pengurusan zakat yang tersusun dan telus. Pembayar zakat boleh melihat secara langsung bagaimana penyaluran wang zakat dilakukan daripada pemberi zakat kepada golongan asnaf. Ia membawa dimensi baharu kepada usaha untuk meningkatkan ketelusan pengurusan wang zakat dan seterusnya akan mengukuhkan lagi keyakinan masyarakat bahawa wang zakat mereka benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan.
Selain itu, penggunaan aplikasi sebegini akan menghasilkan satu pulangan yang bernilai dalam bentuk data-data yang boleh disimpan. Seperti yang kita tahu, dalam era digitalisasi ini, data-data menjadi suatu bentuk aset yang sangat bernilai. Data-data seperti yang diperolehi oleh LZNK melalui aplikasi ZOT boleh dimanfaatkan bagi meningkatkan kedudukan para asnaf terutamanya dalam membantu mereka keluar daripada belenggu kemiskinan. Dengan adanya data-data ini juga, mana-mana asnaf yang layak untuk diberikan bantuan modal perniagaan melalui wang zakat dan wakaf boleh dikenal pasti. Pusat zakat juga berpeluang bekerjasama dengan platform pembiayaan antara rakan setara (P2P) dan pendanaan ramai berasaskan ekuiti (ECF) yang diselia oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk mendapatkan dana perniagaan bagi mereka. Ia juga boleh diselarikan dengan usaha transformasi digital yang dipelopori SC dan Dana Pembangunan Modal Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCDF) melalui Islamic Fintech Accelator Programme (FIKRA) yang dilancarkan baru-baru ini. Ia akan membuka peluang kepada lebih ramai golongan asnaf untuk berjaya. Tidak mustahil, seorang asnaf yang dibantu melalui usaha ini, akan memiliki sebuah perniagaan yang berupaya untuk menerbitkan sukuk suatu hari nanti.
Apapun, untuk berjaya dalam menggunakan teknologi secara optimum, adalah penting untuk sesebuah institusi mendapat sokongan yang kukuh daripada semua pihak berkepentingan dan mempunyai kepimpinan yang berfikiran jauh serta berwawasan besar. Pendek kata, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. – UTUSAN










