TNB bantu pemulihan ekonomi - Utusan Malaysia

TNB bantu pemulihan ekonomi

Mahdzir Khalid (tengah), Baharin Din (kanan) dan Ketua Pegawai Kewangan TNB Nazmi Othman melihat Laporan Tahunan Bersepadu TNB semasa Mesyuarat Agung Tahunan Ke-31 di Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) kekal teguh dalam usahanya meneruskan pelaburan terhadap peralihan tenaga bagi menyokong usaha kerajaan membina semula ekonomi yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdir Khalid berkata, langkah-langkah yang dilakukan kerajaan serta pelancaran program vaksinasi telah memberi satu petanda optimis bahawa ekonomi negara akan kembali rancak berbanding 2020, seterusnya meningkatkan permintaan terhadap bekalan elek­trik.

“TNB juga menyasarkan untuk mempertingkatkan kecekapan industri dan menambah baik pengalaman pelanggan, dalam masa yang sama mempromosikan penggunaan tenaga mampan untuk mengimbangi kemampuan dan keselamatan sistem grid,” katanya pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-31 TNB di Ibu Pejabat TNB di Bangsar, Kuala Lumpur, yang diadakan secara maya semalam.

Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din, Ahli Lembaga Pengarah yang lain serta pengurusan tertinggi TNB.

Mahdzir berkata, 2020 adalah tahun mencabar dan sejajar dengan penguncupan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), permintaan dan jualan elektrik di Semenanjung turut menyusut tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, pres­­tasi Kumpulan kekal kukuh untuk memenuhi polisi pembayaran dividen antara 30 hingga 60 peratus berdasarkan Pelara­san Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti (PATAMI).

TNB mengumumkan pemberian dividen keseluruhan sebanyak 80 sen sesaham, de­ngan jumlah bayaran RM4.56 bilion untuk tahun kewangan 2020.

TNB menutup Tahun Kewa­ngan 2020 dengan Keuntungan Selepas Cukai Kumpulan sebanyak RM3.6 bilion berbanding RM4.45 bilion tahun sebelumnya.

Sementara itu, Baharin berkata, meskipun berdepan dengan cabaran getir pada 2020, TNB terus menyampaikan perkhidmatan terbaik, memberi pulangan kepada pemegang saham dan berkhidmat kepada negara.

Beliau menegaskan, TNB kini melakukan pelaburan yang lebih besar bagi perbelanjaan modal (capex) Kumpulan untuk penambahbaikan grid yang berperanan penting bagi menyokong inisiatif peralihan tenaga Malaysia.

Menurut laporan, TNB memerlukan capex berjumlah RM7.3 bilion pada tahun ini dan unjuran sebanyak RM24 bilion dari 2022 hingga 2024.

“Di bawah inisiatif Grid Masa Hadapan, kami meningkatkan capex untuk menambah baik infrastruktur bagi menyokong peralihan tenaga di Malaysia.

“Perbelanjaan modal dikawal selia berkaitan peralihan tenaga dijangka akan mening­kat daripada 12.3 peratus kepada 19.3 peratus menerusi inisiatif yang dicadangkan dalam RP3. Pelaburan ini akan membolehkan integrasi RE yang lebih banyak ke dalam sistem,” jelas beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya