TNB bantu industri, kemajuan negara - Utusan Malaysia

TNB bantu industri, kemajuan negara

TNB sentiasa komited dalam menyediakan perkhidmatan terbaik bagi membantu pembangunan negara dalam pelbagai aspek.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Usaha Tenaga Nasional Berhad (TNB) menambah baik infrastrukturnya bagi menyokong peralihan tenaga di negara ini dilihat dapat membuka peluang-peluang baharu buat pemain industri, seperti dalam sektor perkilangan dan pembuatan.

Peluang-peluang baharu yang terbuka juga diyakini bakal mewujudkan peluang-peluang pekerjaan kepada rakyat seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi negara pada masa hadapan.

Presiden Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PPIPBM), Datuk Azman Yusoff berkata, langkah yang diambil TNB itu baik kerana membuka ruang untuk pemain industri, terutamanya pemain baharu berkecimpung dalam industri tersebut.

Walau bagaimanapun, beliau berharap TNB akan membuka lebih ruang kepada pemain baharu berbanding hanya melibatkan kelompok pemain industri yang sama dalam usaha tersebut.

“Beri ruang kepada pemain baharu, baik vendor atau usahawan baharu untuk masuk dalam industri supaya mereka dapat bersama merancakkan lagi industri tenaga ini,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din sebelum ini berkata, TNB akan meningkatkan pelaburan untuk perbelanjaan modal (capex) dalam usahanya membantu memulihkan ekonomi negara.

Kata beliau, capex yang dijana akan digunakan untuk menambah baik infrastruktur TNB bagi menyokong peralihan tenaga di Malaysia.

Beliau menjelaskan, pelaburan modal dikawal selia yang dijangka meningkat kepada 19.3 peratus menerusi inisiatif yang dicadangkan dalam Tempoh Kawal Selia Ketiga (RP3) akan membolehkan integrasi tenaga boleh dibaharui (RE) yang lebih banyak ke dalam sistem.

Kata beliau, sebagai syarikat yang mengutamakan kepentingan pemegang taruh, amat kritikal bagi TNB untuk kekal berdaya tahan dari segi kewangan dan teknikal berdasarkan percaturan strategi yang mantap.

Azman melihat ia sebagai satu langkah proaktif daripada TNB yang membolehkan pemain industri merebut peluang dalam lapangan industri yang baharu seperti bioteknologi.

Kata beliau, masa hadapan dalam sektor RE sangat cerah kerana ia membawa bersama matlamat penjagaan alam sekitar dan memberi manfaat kepada pemain industri serta pelabur, baik tempatan mahupun antarabangsa.

“Dengan peluang ini, lebih ramai usahawan dan pengilang bumiputera dapat melibatkan diri, sekali gus memberi manfaat kepada lebih banyak pihak,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai turut menyokong usaha tersebut dengan melihat ia sebagai langkah mempelbagaikan sumber tenaga dengan pelaburan dalam RE.

Kata beliau, selain membantu negara mencapai kemajuan ekonomi yang mampan, usaha itu juga diharap dapat memberi manfaat kepada pengguna industri dalam bentuk pengurangan kos pemprosesan atau administratif untuk mana-mana kilang yang berminat melabur dalam RE, terutamanya fotovolta suria bagi pemasangan atas bumbung.

“FMM menggalakkan ahli-ahlinya untuk turut melabur dalam RE yang mana bersesuaian dengan keperluan penggunaan tenaga bagi kilang dan industri masing-masing.

“Dalam kalangan ahli FMM, terdapat beberapa premis yang membuat pemasangan fotovoltan suria untuk tujuan penjimatan tenaga dan juga bagi memenuhi matlamat kelestarian alam sekitar yang ditetapkan oleh pengurusan serta pemegang taruh syarikat masing-masing. Ada juga yang turut melabur dalam projek solar berskala besar.

“Keputusan pelaburan adalah bergantung kepada tahap keselesaan pulangan pelaburan (ROI) masing-masing,” katanya.

Beliau mengambil contoh program Permeteran Tenaga Bersih (NEM) 2.0 yang banyak memberi manfaat kepada pemain industri dan berpendapat ia wajar diteruskan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN