Terminal Feri Desaru Coast siap 95 peratus - Utusan Malaysia

Terminal Feri Desaru Coast siap 95 peratus

Johor mencatatkan perbelanjaan perlindungan alam sekitar tertinggi pada 2019. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Terminal Feri Desaru Coast yang merupakan pintu masuk antarabangsa ke-16 di negeri ini sudah melepasi tahap kemajuan 95 peratus sebelum dijangka siap sepenuhnya pada Julai ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Desaru Development Holdings One Sdn. Bhd., Roslina Arbak berkata, terminal feri berkenaan akan dilengkapi Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) bagi membolehkan akses terus dari Singapura dan Indonesia.

Menurut beliau, mengikut perancangan, terminal feri yang dibangunkan dalam sebahagian projek pembangunan bersepadu Desaru Coast itu mampu memuatkan sehingga kira-kira 300 penumpang pada satu-satu masa.

“Terminal Feri Desaru Coast akan dapat diakses dari Terminal Feri Tanah Merah di Singapura yang berdekatan dengan Lapangan Terbang Changi setelah pintu sempadan antarabangsa kembali dibuka kelak.

“Pembukaan terminal feri itu kelak sudah tentu memendekkan waktu perjalanan dari negara tersebut berbanding perlu menggunakan pengangkutan darat untuk ke Desaru. Disamping itu, jalan laut ini juga diharap dapat menyambungkan perjalanan dari Pulau Bintan dan Pulau Batam di Indonesia.

“Bagaimanapun, disebabkan pandemik Covid-19 ketika ini sehingga menyebabkan pintu sempadan antarabangsa masih perlu ditutup, kami perlu mencari alternatif untuk memperkenal perkhidmatan seperti island hopping, aktiviti laut dan sebagainya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Roslina berkata, terminal tersebut juga sudah tentu akan membawa impak ekonomi kepada masyarakat setempat terutamanya peluang pekerjaan, perniagaan kereta sewa, makanan atau sebagai jurupandu pelancongan.

Sementara itu, ketika ditanya kesan pelancongan di Desaru ekoran Covid-19, beliau berkata, mereka turut menerima impak yang besar sama seperti lokasi-lokasi pelancongan lain, namun masih dikunjungi pelancong tempatan dalam negeri itu sebelum ini susulan larangan rentas negeri.

“Kami juga menawarkan promosi dan pakej menarik untuk penginapan di hotel-hotel lima bintang, taman tema dan aktiviti-aktiviti lain seperti mesyuarat, kursus dan sebagainya. Malah, teman tema sendiri menerima 37,000 pengunjung sejak dibuka semula pada 11 Mac.

“Jumlah itu hanya berdasarkan kapasiti 2,000 pengunjung yang dibenarkan berada dalam taman tema itu pada satu masa berbanding keluasan sebenar yang mampu menampung sehingga 5,000 pengunjung dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang tinggi,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN