Sunway, NEC Malaysia tubuh CoE - Utusan Malaysia

Sunway, NEC Malaysia tubuh CoE

NEC Malaysia akan memindahkan perkhidmatan dan operasi pusat perhubungannya ke Sunway City Iskandar Puteri, Johor bermula Januari 2023.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sunway City Iskandar Puteri dan NEC Corporation of Malaysia Sdn. Bhd. (NEC Malaysia) melakar sejarah baharu melalui penubuhan Pusat Kecemerlangan Inovasi (CoE) pertamanya di negara ini di Menara Sunway Big Box Offive, Johor.

Dengan pengembangan empayarnya dari Singapura ke wilayah selatan Malaysia, CoE NEC Malaysia beroperasi sementara di Sunway Citrine Hub di Sunway City Iskandar Puteri, Johor.

Ketua Pegawai Eksekutif Sunway City Iskandar Puteri, Gerard Soosay berkata, perjanjian penyewaan antara pemaju dan NEC Malaysia dapat memberikan kebaikan kepada rakyat Malaysia dengan mewujudkan peluang pekerjaan khususnya dalam kawasan perbandaran bersepadu itu, seterusnya menyumpang kepada pertumbuhan ekonomi.

Beliau berkata, pihaknya gembira kerana NEC Malaysia memilih Menara Sunway Bix Box Office sebagai lokasi pilihan untuk menubuhkan pusat perhubungan serantau pertamanya di negara ini.

“Dengan peluasan operasi NEC Malaysia ke Johor, kami yakin mereka akan dapat menjangkaui pelanggan di rantau Asia Tenggara dengan memberikan perkhidmatan lebih cekap kepada pelanggan,” katanya dalam kenyataan.

Ketua Pengarah NEC Malaysia, Chong Kai Wooi pula berkata, sebagai bandar yang berkembang pesat, Sunway City Iskandar Puteri adalah lokasi ideal untuk pihaknya memperluaskan penyelesaian bandar pintar dan mencapai pembangunan lestari di Malaysia dan rantau ASEAN.

“Kami berharap dapat mengembangkan teknologi perkhidmatan teras digital inovatif dan perkhidmatan yang memberikan nilai sosial lebih besar untuk masa hadapan yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata, CoE itu lebih menumpukan kepada perkhidmatan pengurusan dan penyelesaian bandar pintar, selain membantu membangun serta melengkapkan bakat tempatan dengan kemahiran yang diperlukan untuk berjaya dalam norma baharu.

“Kami ingin membantu rakyat Malaysia dalam menjadikan negara digital yang inklusif menerusi CoE dan penyelesaian terkemuka di dunia,” katanya.

Sebagai bandar pintar kedua lestari di Johor, Sunway City Iskandar Puteri bukan sahaja dapat membantu NEC Malaysia dalam meningkatkan imej korporatnya tetapi juga menyepadukan kelestarian dalam sesebuah syarikat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN