PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti (SC) menjalin kerjasama dengan Monash University Malaysia untuk meningkatkan kefahaman awal mengenai prinsip dan amalan tadbir urus korporat.
Kerjasama itu merupakan perkembangan yang signifikan dalam pelaksanaan keutamaan strategik SC untuk menerapkan tadbir urus korporat yang baik dalam kalangan belia.
Pengerusi SC, Datuk Syed Zaid Albar berkata, satu daripada keutamaan terpenting SC adalah memacu tadbir urus korporat yang baik di Malaysia, dengan melabur dalam kalangan belia dan menyokong mereka untuk mencapai potensi penuh sebagai pemimpin dan ejen perubahan positif pada masa hadapan.
“SC juga akan bekerjasama dengan kementerian dan agensi yang relevan untuk membangunkan Toolkit Tadbir Urus Korporat bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menerapkan prinsip tadbir urus korporat yang baik di peringkat awal pertumbuhan syarikat-syarikat ini,” katanya dalam kenyataan.
Kata beliau, kerjasama dengan Monash University akan melibatkan inisiatif penyelidikan bersama untuk memaklumkan dan memperluas proses perumusan dasar dan mengembangkan kajian akademik mengenai tadbir urus korporat.
Sementara itu, Ketua Sekolah Perniagaan Monash University, Profesor Pervaiz Ahmed berkata, pihak universiti mengalu-alukan peluang untuk bekerjasama dengan SC.
Beliau berkata, perkongsian itu akan meningkatkan perbincangan dan kefahaman mengenai tadbir urus korporat pada masa yang kritikal bagi komuniti perniagaan hari ini.
“Ia juga akan menjadi platform untuk memberi maklumat dan membimbing bakal pemimpin perniagaan pada masa depan. Ia juga akan menyelaras dan mengukuhkan misi Sekolah Perniagaan ini untuk memberi impak yang bermakna terhadap cara perniagaan dijalankan di Asia melalui penyelidikan berkualiti tinggi, kecemerlangan pendidikan, dan libat urus yang dipertingkat bersama industri dan masyarakat,” tambah beliau. – UTUSAN










