MNRB rekod untung bersih RM189.5 juta - Utusan Malaysia

MNRB rekod untung bersih RM189.5 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MNRB Holdings Berhad (MNRB) mencatat prestasi kukuh bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac dengan keuntungan bersih berjumlah RM189.5 juta, melonjak 42.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Walaupun berdepan landskap perniagaan yang mencabar, kumpulan juga mencatat kenaikan 13.0 peratus dalam Premium Kasar dan Sumbangan Takaful kepada RM2.6 bilion berbanding RM2.3 bilion yang dicatatkan pada 2020.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan, Zaharudin Daud berkata, ketahanan kumpulan membolehkannya melalui pelbagai cabaran yang timbul akibat pandemik dan dibantu sumbangan besar daripada semua anak syarikat dan syarikat sekutu. 

Ujarnya, tumpuan kepada daya tahan operasi turut memberikan sumbangan positif terhadap pertumbuhan pendapatan dan pulangan yang kuat kepada pihak berkepentingan.

“Anak syarikat reinsurans Kumpulan, Malaysian Reinsurance Berhad (Malaysian Re) mencatat kenaikan 7.7 peratus dalam Premium Kasar kepada RM1.4 bilion daripada RM1.3 bilion pada tahun kewangan sebelumnya, dipacu sumbangan positif dari luar negara dan pasaran domestik. 

“Untung bersih Malaysian Re melonjak 38.1 peratus kepada RM133.1 juta berbanding RM96.4 juta tahun lalu, sebahagian besarnya disumbangkan oleh pendapatan pelaburan dan lebihan underiter yang lebih tinggi.

“Malaysian Re menunjukkan kemajuan yang berterusan tahun ini dan menandakan kejayaan baharu dengan mencapai premium RM1.4 bilion, yang lebih RM600 juta datang daripada perniagaan luar negara,” katanya dalam kenyataan.

Sumbangan kasar perniagaan takaful am kumpulan, Takaful Ikhlas General Berhad (Takaful IKHLAS General) juga meningkat dengan ketara sebanyak 35.8 peratus kepada RM468.8 juta berbanding RM345.2 juta pada tahun kewangan sebelumnya. 

Keuntungan bersihnya meningkat 35 peratus kepada RM27.4 juta daripada RM20.3 juta pada tempoh sama tahun lalu didorong oleh gabungan pertumbuhan perniagaan dan kecekapan operasi yang lebih baik.

Perniagaan takaful keluarga kumpulan, Takaful Ikhlas Family Berhad (Takaful IKHLAS Family) mencatat sumbangan Kasar yang meningkat sebanyak 11.2 peratus kepada RM687.5 juta daripada RM618 juta pada tahun lalu. 

Walau bagaimanapun, keuntungan bersihnya menurun sebanyak 56.3 peratus kepada RM19.5 juta berbanding RM44.6 juta yang dicatatkan tahun lalu disebabkan oleh Pengurangan Nilai Wajar yang lebih rendah dalam portfolio pelaburan tahun sebelumnya.

Mengulas mengenai strategi kumpulan untuk tahun kewangan baharu, Zaharudin memaklumkan sebagai industri yang terus menghadapi cabaran kerana wabak global yang sedang berlaku, pihaknya harus terus meningkatkan ketangkasan operasi dan mempersiap peluang baharu di sebalik perubahan persekitaran operasi semasa. 

“Ini untuk memastikan kita terus menjana perniagaan yang menguntungkan dan nilai yang lebih besar untuk pelanggan dan pihak berkepentingan kami. 

“Oleh itu, kami juga fokus untuk memperluas bakat kami, memberikan pengalaman pelanggan yang lebih baik dan meningkatkan platform digital dan teknologi dalam tahun ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN