PETALING JAYA: Kesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 terhadap pertumbuhan ekonomi negara dianggarkan kurang daripada satu mata peratus.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan berkata, ia berdasarkan strategi yang lebih seimbang yang mana hanya sektor kontak fizikal yang intensif dilarang manakala sektor yang menyumbang lebih daripada 90 peratus daripada KDNK dibenarkan beroperasi.
Sehubungan itu, kementerian mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara enam hingga 7.5 peratus, sejajar dengan unjuran Dana Kewangan Antarabangsa (IMF – 6.5 peratus), Bank Dunia (enam peratus) dan Bank Pembangunan Asia (ADB – enam peratus).
“Di samping itu, prestasi ekonomi negara juga akan disokong oleh pertumbuhan ekonomi rakan dagang utama yang kian pulih, seperti Singapura, China dan Amerika Syarikat yang masing-masing berkembang sebanyak 0.2 peratus, 18.3 peratus dan 0.4 peratus pada suku pertama 2021,” katanya.
Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut Kementerian Kewangan, kesan limpahan luaran daripada pemulihan permintaan global termasuk aktiviti perdagangan yang terus meningkat telah menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara.
Jelasnya, ia dapat dilihat melalui prestasi KDNK suku pertama 2021 yang menguncup jauh lebih kecil pada kadar 0.5 peratus tahun ke tahun berbanding penguncupan 3.4 peratus pada suku sebelumnya.
“Ini juga disumbang oleh pemulihan pertumbuhan KDNK pada Mac 2021 yang telah meningkat sebanyak enam peratus tahun ke tahun, kadar tertinggi sejak 12 bulan lalu.
“Namun, kerajaan sentiasa berwaspada terhadap risiko yang disebabkan oleh perubahan dalam persekitaran ekonomi domestik dan global yang boleh mempengaruhi pertumbuhan ekonomi negara.
“Ini termasuklah wabak Covid-19 yang berpanjangan kerana varian baharu yang telah tersebar di seluruh dunia; gangguan bekalan vaksin Covid-19 yang boleh menggugat usaha mencapai imuniti kelompok; kejutan harga komoditi dunia dan ketidaktentuan pasaran kewangan global,” katanya. – UTUSAN










