Ekonomi Singapura tumbuh 1.3 peratus suku pertama 2021 - Utusan Malaysia

Ekonomi Singapura tumbuh 1.3 peratus suku pertama 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Ekonomi Singapura berkembang melepasi jangkaan pada suku pertama tahun ini, dengan kerajaan  mengekalkan unjuran pertumbuhan, namun kekal  berhati-hati mengambil kira jangkitan pandemik Covid-19 yang masih tidak menentu.

Menurut Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI),  Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama tumbuh 1.3 peratus tahun ke tahun, lebih tinggi berbanding unjuran awal sekitar 0.2 peratus.

Pertumbuhan itu dipacu oleh sektor pengilangan, kewangan dan insurans serta perdagangan borong. 

Menurut tinjauan Reuters, penganalisis menjangkakan peningkatan sebanyak 0.9 peratus.

Berikutan perkembangan itu, MTI mengunjurkan KDNK Singapura tahun ini tumbuh sekitar 4 hingga 6 peratus. Bagaimanapun kementerian itu memberi amaran kemungkinan situasi tidak menentu di luar jangka akibat pandemik ketika usaha masih diteruskan untuk membendung penularan wabak. 

Unjuran KDNK 2021 dijangka akan diteliti semula pada Ogos ini.

Bulan lalu, pihak berkuasa Singapura berkata, pertumbuhan ekonomi berkemungkinan melepasi unjuran, membayangkan pemulihan ekonomi yang terjejas teruk tahun lalu akibat Covid-19.

Setiausaha Tetap MTI, Gabriel Lim berkata, di sebalik kemungkinan ekonomi pulih lebih awal sekiranya permintaan luaran meningkat, namun wujud juga kebarangkalian situasi sebaliknya.

“Langkah pemulihan pelbagai sektor ekonomi dilihat berlaku lebih awal daripada jangkaan,” katanya.

Berdasarkan pertumbuhan suku ke suku, ekonomi pada suku pertama tahun ini berkembang 3.1 peratus.

Kerajaan Singapura sebelum ini telah menyuntik lebih S$100 bilion (RM312.61 bilion) ke dalam pasaran untuk menstabilkan ekonomi daripada terus mengalami kejatuhan.

Malah, Bank Pusat Singapura dalam pertemuannya April lalu turut mengekalkan dasar kewangan akomodatif untuk menyokong pemulihan. – AGENSI

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

BERITA BERKAITAN