Dalam landasan menuju TM baharu - Utusan Malaysia

Dalam landasan menuju TM baharu

TM terpaksa mematikan bekalan elektrik dan peralatan rangkaian di beberapa kawasan sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan penduduk di situ serta mengurangkan sebarang potensi risiko. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Telekom Malaysia Berhad (TM) menyempurnakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang ke-36 dengan penyertaan lebih 1,000 pemegang sahamnya secara maya.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd. Bakke Salleh berkata, kejayaan AGM tersebut meletakkan TM dalam landasan untuk menyempurnakan transformasi TM Baharu selepas mencatatkan peningkatan prestasi pada 2020 walaupun diselubungi pandemik.

Kata beliau, TM kekal berdaya tahan dan merekodkan prestasi lebih baik pada tahun tersebut dengan inisiatif-inisiatif pengoptimuman kos yang memacu keberuntungan.

“Berasaskan momentum masa kini, kami telah memulakan fasa berikutnya dalam perjalanan kami dengan Program Transformasi TM Baharu.

“Berpandukan kompas kami iaitu matlamat, pelanggan, prestasi dan anggota, TM akan memfokuskan kepada kecemerlangan sambungan, kecemerlangan penyelesaian dan kecemerlangan pengalaman pelanggan bagi membezakan kami daripada persaingan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut TM, transformasi mereka berpaksikan kepada lebih 40 program-program nilai yang diterajui oleh Pejabat Transformasi yang khusus dengan rentak baharu ke arah tempo pelaksanaan lebih pantas yang kini telah mula menunjukkan hasil awal.

Katanya, dengan syarikat telekomunikasi itu juga sedang membentuk tenaga kerjanya menjadi enjin pelaksanaan yang lebih mantap dengan menerapkan budaya kerja yang lebih tangkas serta kemahiran yang bersedia untuk masa hadapan.

“Ini akan menetapkan TM pada trajektori pertumbuhan yang mampan bagi mencipta nilai pemegang saham dan terus menggerakkan Digital Malaysia,” katanya.

Dalam AGM tersebut, pemegang saham TM telah meluluskan kesemua 12 resolusi biasa yang dibentangkan.

Selain Mohd. Bakke, AGM yang kali kedua dijalankan secara maya itu turut dihadiri Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Razidan Ghazalli. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN