PETALING JAYA: Selama 30 hari, Vitagen akan menyumbangkan 30,000 botol minuman probiotik No. 1 Malaysia kepada petugas barisan hadapan di Hospital Selayang. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada kempen Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat tersebut iaitu “Kita Lebih Kuat Bila Kita Sihat Bersama”.
Bagi umat Islam, Ramadan adalah bulan mulia untuk mempertingkatkan ibadah sambil meluangkan masa bersama keluarga. Namun disebabkan musibah Covid-19, kebanyakan petugas barisan hadapan yang beragama Islam terpaksa bertugas lebih masa demi mengekang penularan pandemik ini dan melindungi orang ramai. Sebagai penghargaan terhadap pengorbanan mereka, Vitagen tampil ke hadapan untuk menyokong mereka yang melindungi rakyat Malaysia – dengan menguatkan sistem imun mereka.
“Sistem imun yang baik merupakan barisan pertahanan pertama perlindungan daripada jangkitan,” kata Encik Poh Eng Lip, Pengurus Besar Vitagen. 70% sistem imun berada dalam sistem penghadaman kita. Oleh itu, adalah penting untuk mengekalkan diet sihat yang merangkumi pengambilan probiotik setiap hari.
“Kami ingin menzahirkan penghargaan kami kepada para petugas barisan hadapan dan melindungi mereka dengan cara terbaik yang kami tahu, kerana sistem imun yang kuat dan kesihatan sistem penghadaman yang baik ibarat senjata serampang dua mata barisan pertahanan pertama tubuh kita. Kami akan melaksanakan lebih banyak inisiatif demi menyokong pembentukan negara yang kuat dan sihat. Kami percaya sekiranya kita sihat sebagai individu, kita akan menjadi kuat sebagai sebuah masyarakat,” jelas Cik Yap Jay Queen, Ketua Pemasaran Vitagen.
Setiap botol Vitagen mengandungi berbilion kultur probiotik hidup atau bakteria baik yang dikenali sebagai Lactobacillus acidophilus dan Lactobacillus paracasei. Vitagen terbukti secara klinikal bagi membantu mengekang bakteria jahat di dalam usus dan mengekalkan sistem penghadaman yang baik secara keseluruhan, seterusnya membawa kepada sistem imun yang lebih kuat.
Inisiatif CSR tersebut bermula hari ini dan berterusan sepanjang bulan Ramadan. – UTUSAN










