TNB tingkat nilai tambah kontraktor - Utusan Malaysia

TNB tingkat nilai tambah kontraktor

MAHDZIR Khalid (duduk, dua kanan) dan Baharin Din (duduk, tiga kanan) mendengar taklimat daripada Ketua Projek Mobility Solution, Ahmad Farid Jamil (kanan) pada Majlis Pelancaran Hari Terbuka Vendor TNB di Bangsar, semalam. – UTUSAN/MOHD FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) komited dalam meningkatkan nilai tambah kepada vendor tempatan terutama kontraktor bumiputera bagi memenuhi keperluan ekonomi baharu.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din, syarikat itu memperuntukkan sejumlah RM8 bilion secara purata dalam empat tahun kebelakangan ini untuk pengagihan projek inisia­tif pembekalan elektrik.

Ujarnya, setakat ini, seba­nyak 53 peratus vendor bumiputera telah mendapat manfaat daripada pengagihan projek sejak 20 tahun lalu dan TNB terus memberi sokongan menerusi pelbagai inisiatif untuk kemajuan mereka.

“Sebagai contoh, apabila kita mula laksanakan pemasangan meter pintar, hampir 90 peratus merupakan tenaga import. Namun begitu, kita sedang sediakan vendor tempatan dari segi pemasangan dan pengilangan meter pintar dengan harapan dapat ce­cah 100 peratus vendor tempatan.

“Kita akan lebihkan usaha kerana kini tertumpu lebih kepada produk ekonomi baharu. Kita akan buat segala yang bersesuai­an supaya penglibatan vendor tempatan bukan hanya pada produk asas tetapi juga produk yang mempunyai nilai tambah.

“Asalkan mereka (vendor tem­patan) berkeupayaan, ber­ke­mampuan dan memenuhi keperluan, kita akan sokong,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Hari Terbuka Vendor TNB, di sini semalam.

Sementara itu, Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, syarikat itu turut memperuntukkan nilai perolehan melebihi RM1.5 bilion untuk tempoh tiga ke empat tahun depan bagi program pemasangan meter pintar.

Jelasnya, bagi tempoh empat tahun sejak mula dilaksana pada 2017, program berkenaan telah mencatatkan perolehan bernilai RM1.2 bilion.

“TNB akan memastikan kesemua sembilan juta pelanggan di seluruh negara akan dilengkapkan dengan pemasangan meter pintar dalam tempoh 5 tahun lagi. 

“Setakat tahun lalu, sebanyak 1.2 juta pemasangan meter pintar telah dibuat namun prosesnya agak lambat disebabkan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan tahun lalu,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya