Tipu timbang buah kelapa sawit, MPOB ambil tindakan lebih tegas - Utusan Malaysia

Tipu timbang buah kelapa sawit, MPOB ambil tindakan lebih tegas

KERAJAAN memandang serius tindakan penipuan timbang buah sawait. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi memandang serius kegiatan penipuan timbang buah kelapa sawit yang menyebabkan kerugian pendapatan kepada pekebun kecil.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, ketika harga minyak sawit mentah melonjak ke paras tertinggi dalam sejarah iaitu RM4,428.50 pada 23 Aprul lalu dan harga rujukan tertinggi Buah Tandan Segar (BTS) melepasi RM900 setan, sewajarnya nikmat ini dapat dirasai oleh pekebun kecil.

Namun katanya, peluang itu terhalang kerana tindakan segelintir pemborong yang tamak dan sanggup menjadi penjenayah ekonomi.

“Sehubungan ini, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan mengambil tindakan yang lebih tegas dan serta-merta terhadap pihak yang menindas pekebun kecil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Persatuan Kebangsaan Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) dilaporkan mengesa kerajaan mengambil tindakan tegas membatalkan lesen pihak terbabit dalam industri sawit yang terlibat
dengan penipuan timbang buah kelapa sawit.

Menurut Mohd. Khairuddin, kementerian melalui MPOB menjalankan aktiviti kawal selia dan penguatkuasaan peraturan bagi memastikan perkembangan industri sawit yang teratur.

Di bawah Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582), MPOB diberi kuasa melesenkan 12 aktiviti utama merangkumi 24 kategori lesen dalam industri sawit termasuk urus niaga buah kelapa sawit oleh pekebun kecil, peniaga buah kelapa sawit dan kilang kelapa sawit seperti yang termaktub di bawah peraturan-peraturan (Pelesenan) 2005 MPOB.

Bagi kes-kes penipuan timbangan buah kelapa sawit, tindakan pemantauan dan penguatkuasaan adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 dan perundangan subsidiari di bawahnya.

Dalam usaha membendung aktiviti salah laku melibatkan penipuan timbang buah kelapa sawit, MPOB bersama pegawai penguatkuasa KPDNHEP mengadakan operasi bersepadu manipulasi timbangan sawit melibatkan pemeriksaan alat timbang pusat pengumpulan buah kelapa sawit.

Sehingga 27 April lalu, sebanyak lima siri operasi bersepadu telah dijalankan melibatkan pemeriksaan 63 premis berlesen.

Hasil operasi itu, sebanyak 56 tindakan penguatkuasaan telah dikenakan ke atas pemegang lesen MPOB bagi kesalahan-kesalahan di bawah Peraturan Pelesenan.

“Memandangkan kesalahan menipu timbangan buah kelapa sawit amat serius dan memberikan kesan amat negatif kepada pekebun kecil, MPOB bersedia dengan tindakan lebih tegas di mana pemborong yang dibuktikan melakukan penipuan atau manipulasi timbangan buah kelapa sawit akan digantung lesen mereka serta-merta,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya