Sektor hartanah dijangka pulih tahun ini - Utusan Malaysia

Sektor hartanah dijangka pulih tahun ini

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Sektor hartanah negara dijangka pulih selari dengan pertumbuhan ekonomi yang diunjurkan antara enam hingga 7.5 peratus tahun ini, didorong fokus dan strategi ekonomi kerajaan dalam pelaksanaan Program Imunisasi Kebangsaan yang membolehkan lebih banyak sektor ekonomi beroperasi.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pemulihan ini dapat dilihat melalui peningkatan aktiviti pasaran perumahan yang mula pulih sejak penghujung suku kedua 2020.

Ujarnya, jumlah urus niaga meningkat pada kadar yang setanding dengan pertumbuhan purata suku tahunan yang dilihat sebelum pandemik Covid-19 tercetus.

“Untuk jangka masa sederhana dan panjang, kerajaan akan menyusun struktur ekonomi bagi memastikan pertumbuhan yang mampan dan inklusif melalui Rancangan Malaysia Ke-12 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Dalam mendepani isu hartanah tidak terjual ini, kita akan menumpukan lima fokus utama iaitu mengawal penularan Covid-19, memacu pemulihan ekonomi, memperkukuh daya saing negara, memastikan agenda keterangkuman dan mentransformasi ekonomi,” katanya dalam Majlis Pelancaran Laporan Pasaran Harta 2020 di sini, semalam.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Sr. A’zmi Abdul Latif dan Pengarah Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), Sr. Aina Edayu Ahmad.

Menurut Tengku Zafrul, masalah ini tidak akan dibiar begitu sahaja, malah pemaju dan pihak berkuasa termasuk kerajaan negeri perlu terus bekerjasama dan memberi perhatian kepsda data overhang yang dikeluarkan oleh NAPIC. 

“Ini penting dalam menentukan projek yang dibangunkan adalah selari dengan permintaan selain memastikan harga jualan kekal munasabah kepada orang ramai,” ujarnya.

Isu lambakan hartanah tidak terjual menjadi antara perkara yang membimbangkan semasa pembentangan Prestasi Tahunan Bank Negara baru-baru ini dengan kadar kepenghunian bagi pejabat dan kompleks membeli-belah semakin memburuk sejak 2018 berikutan pembekalan yang tidak selaras dengan permintaan.

Tambah beliau, tahun lalu merupakan tahun yang sangat mencabar untuk Malaysia disebabkan pandemik Covid-19 dan prestasi hartanah turut menguncup.

Jelasnya, tahun lalu hampir 296,000 transaksi bernilai kira-kira RM119 bilion direkodkan, masing-masing menguncup sebanyak 9.9 peratus dan 15.8 peratus berbanding prestasi 2019.

“Penurunan ini dikaitkan dengan bilangan transaksi yang terjejas bagi pelbagai subsektor yang mencatatkan penguncupan antara 2.6 hingga 24 peratus. Dari segi nilai, hanya subsektor pertanian mencatat peningkatan marginal pada 0.6 peratus manakala subsektor lain menguncup antara sembilan hingga 34 peratus.

“Selain itu, segmen pelancaran kediaman baharu turut terjejas dengan hanya 47,000 unit dilancarkan berbanding 60,000 unit tahun sebelumnya. Antara sebab utama termasuk penangguhan pelancaran oleh pemaju kerana mereka lebih memberi tumpuan kepada penjualan inventori sedia ada,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya