Mahani wanita pertama dilantik Pengerusi BOD AIA PUBLIC Takaful -

Mahani wanita pertama dilantik Pengerusi BOD AIA PUBLIC Takaful

Mahani Amat
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: AIA PUBLIC Takaful Bhd. (AIA PUBLIC Takaful) mengumumkan pelantikan Mahani Amat sebagai Pengerusi Lembaga Pengarahnya (BOD) berkuat kuasa 6 April lalu.

Beliau menggantikan Datuk Thomas Mun Lung Lee yang bersara selepas menamatkan perkhidmatannya sebagai pengarah syarikat tersebut.

Menurut AIA PUBLIC Takaful, Mahani yang juga merupakan ahli Lembaga Pengarah AIA Bhd. sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif sejak 2019, adalah wanita pertama yang menyandang jawatan Pengerusi bagi mana-mana entiti AIA di Malaysia.

“Berpengalaman selama 27 tahun dalam industri perbankan, kerjayanya bermula dengan Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1977 sebelum berpindah ke RHB Bank Singapura pada 1984.

“Pada 2001, beliau kembali berkhidmat dengan RHB Bank di Kuala Lumpur berjawatan pengurusan kanan sehinggalah jawatan terakhirnya sebagai Naib Presiden Eksekutif bahagian operasi dan perkhidmatan pada 2004,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas pelantikan tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AIA PUBLIC Takaful, Elmie Aman Najas berkata, Mahani merupakan seorang pemimpin perniagaan yang diiktiraf, dan syarikat sangat berbesar hati mengalu-alukan kehadirannya sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah.

Katanya, Mahani melangkah ke posisi itu bukan sekadar membawa pengetahuan dan pengalaman berpuluh tahun dalam sektor kewangan, tetapi juga pemahaman mendalam tentang operasi AIA
menerusi peranannya sebagai pengarah bukan eksekutif bersama syarikat konvensional AIA.

“Kami yakin dengan pelantikan beliau, ia akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pesat dan berterusan AIA PUBLIC Takaful, serta memajukan tujuan kolektif kami dalam membantu lebih ramai rakyat Malaysia untuk menjalani Kehidupan yang Lebih Sihat, Berpanjangan dan Bermakna,” katanya.

Beliau turut wewakili pihak pengurusan, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Thomas atas kepimpinan, dedikasi dan sumbangannya kepada syarikat selama ini.

“Kami juga berharap dan mendoakan yang segala yang terbaik untuk beliau di masa hadapan,” tambah Elmie.

Mahani memegang Ijazah Sarjana Muda Ekonomi, jurusan Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Malaya.

Beliau kini berkhidmat sebagai Pengarah Bebas di tiga buah syarikat senarain awam di Pasaran Utama Bursa Securities iaitu Unisem (M) Bhd., Scicom (MSC) Bhd. dan Leong Hup International Berhad.  Beliau juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah J.P. Morgan Chase Bank Berhad. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya