Kesiapsiagaan kem tentera, kebajikan anggota jadi keutamaan - Utusan Malaysia

Kesiapsiagaan kem tentera, kebajikan anggota jadi keutamaan

ISMAIL Sabri Yaakob menyampaikan sumbangan kepada seorang anggota tentera yang memerlukan pada Majlis Berbuka Puasa Menteri Kanan Pertahanan Bersama Warga Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat (PLDTD) di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) Port Dickson.- UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Bersempena sambutan Ramadan, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut berkesempatan dan meluangkan masa berbuka puasa bersama anggota dan pegawai tiga cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ia dimulakan dengan Majlis Berbuka Puasa Menteri Kanan Pertahanan Bersama Warga Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat (PLDTD) di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) dekat sini, kelmarin.

Majlis berbuka puasa berkenaan juga merupakan siri lawatan Ismail Sabri ke kem-kem tentera di seluruh negara yang telah menjadi kelaziman beliau sejak memegang jawatan sebagai Menteri Kanan Pertahanan sejak setahun lalu.

Ismail Sabri berkata, menerusi lawatan ke kem-kem tentera, beliau dapat mengetahui sendiri keperluan dan tahap kesiapsiagaan setiap kem.

“Setiap dua minggu sekali saya akan melawat kem di seluruh negara. Saya akan mendengar dan diberi taklimat mengenai kesiapsiagaan tentera di setiap kem.

“Kita tahu setiap kem mesti berada dalam keadaan siapsiaga bagi menghadapi apa juga keadaan, kita melihat daripada sudut itu,” katanya.

Yang hadir sama, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain; Timbalannya,   Leftenan Jeneral Datuk Mohamad Ab. Rahman dan Panglima Latihan Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Nazari Abd. Hadi.

Dalam memastikan tahap kesiapsagaan di tahap tertinggi, kebajikan anggota tentera dan keluarga juga menjadi keutamaan.

Sehubungan itu, pada majlis tersebut, Ismail Sabri turut berkesempatan menyerahkan sumbangan Ramadan kepada lima anggota tentera yang memerlukan.

Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan itu turut berkesempatan menyantuni dua waris anggota (PLDTD) yang menghadapi masalah kesihatan dan memerlukan bantuan.

Mereka ialah Nor Diana Yusmaliza Yusnizal, 9, anak kepada Sarjan Yusnizal Mohamed Yahaya dari Kor Perkhidmatan Diraja (KPD) Pusasda yang menghidapi penyakit microcephaly (kepala mengecil) sejak dilahirkan.

Seorang lagi ialah Siti Mazidah Mokhtar @ Zulkifly, 38, isteri kepada Pegawai Waran 2, Hazizi Jebeng yang bertugas di Institut Kejuruteraan Tentera Darat (IJED).

Siti Mazidah menghidap penyakit oesteoporosis saraf tulang belakang dan arteraitis dan kini menjalani rawatan berkala di Hospital Port Dickson. Dia juga sedang menunggu giliran bagi mendapatkan rawatan di Institut Kanser Negara, Putrajaya.

Sementara itu, Zamrose berkata, sebanyak RM79.3 juta peruntukan tambahan telah diluluskan sepanjang 2020 sehingga kini kepada tentera darat susulan lawatan kerja Ismail Sabri ke kem-kem tentera darat di seluruh negara.

Menurut beliau, peruntukan yang disalurkan tersebut termasuk bagi kerja-kerja penyelenggaraaan bangunan teknikal, rumah-rumah anggota serta penurapan jalan.

“Hasil lawatan kerja Datuk Seri (Ismail Sabri) sepanjang 2020 dan 2021, peruntukan tambahan berjumlah RM79.296 juta telah diluluskan kepada tentera darat.

“Peruntukan tambahan ini antaranya melibatkan kerja penyelenggaraan bangunan teknikal, naik taraf rumah keluarga anggota tentera, penurapan jalan dan penyelenggaraan dewan serbaguna. Semua ini dilaksanakan Datuk Seri dengan hasrat menjamin kebajikan warga tentera darat sentiasa terpelihara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya