Jakel, Platinum Victory lancar projek GDV RM1.25b - Utusan Malaysia

Jakel, Platinum Victory lancar projek GDV RM1.25b

MOHAMED Faroz Mohamed Jakel menunjukkan model projek pembangunan bercampur J. Satine yang bakal dibangunkan oleh Kumpulan Jakel, di Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/MOHD. FARIZWAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kumpulan Jakel, dengan kerjasama Platinum Victory akan melancarkan sebuah projek pembangunan bercampur iaitu Projek J.Satine dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.25 bilion.

Projek J.Satine itu merupakan pembangunan bersepadu merangkumi 4,303 unit kediaman dan perdagangan, yang terbahagi kepada tiga komponen pembangunan termasuk 3,600 unit Pangsapuri Mampu Milik Residensi Wilayah, 661 unit Soho dan 42 unit komersial.

Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata, projek tersebut akan dibangunkan secara berfasa di mana, Fasa 1 akan dilancarkan pada suku ketiga tahun ini merangkumi 2,068 unit pangsapuri mampu milik.

“Fasa 2 dijangka akan dilancarkan pada 2022 dengan baki 1,532 unit pangsapuri mampu milik. Manakala fasa berikutnya meliputi unit Soho dan komersial akan dilancarkan pada masa akan datang.

“Pangsapuri yang mempunyai keluasan lantai 800 kaki persegi seunit itu juga memiliki kemudahan awam yang lengkap dan bermanfaat kepada bakal penghuni termasuk kolam renang dan taman rekreasi,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Jelasnya, objektif pembinaan Pangsapuri Residensi Wilayah J.Satine itu adalah sejajar de­ngan dasar kerajaan untuk membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang kurang berkemampuan untuk memiliki rumah idaman di ibu negara.

Menurutnya, pembangunan itu juga direka dengan teliti untuk kelihatan eksklusif dan ele­gan walaupun ia adalah rumah mampu milik.

Mengulas lanjut, Mohamed Faroz memberitahu, kawasan persekitaran projek seluas 9.2 ekar itu juga berhampiran dengan kemudahan pengangkutan awam iaitu Transit Aliran Ringan (LRT) yang mempunyai tiga stesen berhampiran iaitu Wangsa Maju, Taman Melati dan Sri Rampai.

“Pangsapuri Residensi Wi­layah J.Satine yang mempu­nyai 44 tingkat itu dijual dengan harga RM300,000 seunit, dan projek itu secara keseluruhan dijangka siap dalam masa empat tahun,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya