Bank Islam disenaraikan Ogos - Utusan Malaysia

Bank Islam disenaraikan Ogos

MOHD. MUAZZAM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proses penyenaraian Bank Islam dijangka selesai Ogos ini, menjadikan ia satu-satunya institusi kewa­ngan Islam penuh yang tersenarai di Bursa Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, proses tersebut akan berlangsung selepas proses penstrukturan semula syarikat induknya, BIMB Holdings Berhad (BHB) selesai sepenuhnya.

Kata beliau, proses penstrukturan semula BHB sedang berjalan lancar dan ia dianggar selesai 20 peratus setakat ini.

Malah, jelas beliau, BIMB telah berjaya melalui fasa yang paling sukar, iaitu mendapatkan persetujuan daripada Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti (SC), pemegang saham serta pemegang waran.

“Terbitan saham baharu Bank Islam bulan ini yang menjana RM800 juta akan digunakan untuk membayar sukuk tertunggak BHB yang dianggarkan bernilai antara RM920 juta dan RM960 juta manakala penyelesaian waran tertunggak berjumlah RM162 juta akan dibayar selepas itu.

“Selepas semuanya selesai, Bank Islam akan disenaraikan di Bursa Malaysia dan muncul sebagai satu-satunya institusi perbankan Islam penuh yang tersenarai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar tentang kemajuan proses penstrukturan semula BHB semalam.

Mohd. Muazzam berkata, antara perkara yang perlu dise­lesaikan sebelum penyenaraian Bank Islam ialah pengambilalihan anak-anak syarikat BHB.

Jelas beliau, semua anak syarikat BHB akan diambil alih Bank Islam kecuali Takaful Malaysia dan saham BHB akan ditukar kepada saham Bank Islam pada nisbah 1:1.

Kata beliau, saham BHB juga akan ditukarkan kepada saham Bank Islam pada nisbah 4:1, bergantung kepada pasaran.

“Berdasarkan pengiraan pakar, pemegang saham BHB dijangka akan memperoleh lebih nilai selepas proses penstrukturan semula itu selesai kelak,” katanya.

Mohd. Muazzam turut ber­kesempatan menjelaskan perancangan lima tahun Bank Islam menjelang 2025 yang dinamakan sebagai LEAP 25.

Menurut beliau, perancangan itu antara lain meletakkan sasaran untuk bank tersebut mencapai saiz aset melebihi RM100 bilion menjelang 2025.

Institusi kewangan berkenaan turut menyasarkan untuk menurunkan kadar kos kepada pendapatannya kepada bawah 50 peratus, selain mengekalkan pulangan atas ekuiti yang tinggi, melebihi 15 peratus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya