INSPIRASI NIAGA
SEPERTI yang kita tahu, kebanyakan syarikat penerbangan mengalami kerugian yang sangat besar kerana tidak dapat beroperasi akibat penularan wabak Covid-19 sejak tahun lalu.
Maka, ramai pramugari, pramugara serta juruterbang terpaksa diberhentikan kerja dan bagi yang masih berkhidmat, gaji mereka terpaksa dipotong demi kelangsungan syarikat.
Itu yang berlaku kepada juruterbang, Ahmad Nazhmin Abdul Aziz yang diberikan cuti tanpa gaji bermula tahun ini setelah beberapa bulan tidak mendapat gaji penuh daripada syarikat penerbangan tempatan tempatnya bekerja.
Bagaimanapun, perkara itu tidak sedikit pun mematahkan semangatnya malah dia mula berjinak-jinak dalam dunia perniagaan dengan mengusahakan produk sambal bersama isterinya, Bella Hijrahwati Kamarehan.
“Pada awalnya memang sukar untuk saya menerima kenyataan, tambahan pula telah lapan tahun bekerja sebagai juruterbang. Namun, saya dan isteri berfikir ini bukan masa untuk duduk diam, jadi kami perlu melakukan sesuatu,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Menurut Bella, pada asalnya mereka hanya memasak sambal secara suka-suka kerana keluarga memang gemar masakan yang pedas dan sambal merupakan penambah rasa wajib setiap kali waktu makan.
Ujarnya, idea untuk menghasilkan sendiri sambal mula timbul selepas mereka sering kali mencuba resipi sendiri kerana mahukan rasa sambal yang lain daripada yang ada di pasaran.
“Pada mulanya saya dan suami hanya masak untuk seisi keluarga dan ada juga yang kami berikan sebagai hadiah kepada rakan-rakan. Kemudian, ramai yang memuji keunikan rasanya dan menggalakkan kami untuk mengkomersialkan produk sambal ini.
“Sambal kami lebih kepada rasa masakan Padang (Minang) dan kami juga mengekalkan keenakannya tanpa menggunakan sebarang perasa tiruan. Kami mahu para pembeli terutamanya yang jauh dari kampung halaman merasai pengalaman seperti makan di rumah sendiri,” ujarnya yang juga bekas pramugari.
Jelasnya, buat masa sekarang dia dan suami hanya memperuntukkan sehari dalam seminggu untuk memasak sambal yang ditempah pelanggan kerana proses memasak agak lama.
“Proses menghasilkan sambal ini mengambil masa berjam-jam, lebih-lebih lagi kami melakukan proses retort secara manual supaya sambal tahan lebih lama.
“Kini kami hanya menghasilkan maksimum 30 botol sambal untuk sekali pembuatan. Akan datang, kami mungkin akan membeli mesin retort supaya dapat meningkatkan jumlah pengeluaran seterusnya meluaskan pasaran ke seluruh negara,” jelasnya.
Walaupun masih baru dalam penjualan makanan, Bella menyimpan cita-cita untuk meluaskan pasaran Sambal Bey melalui jualan di kedai runcit, stesen minyak dan menerusi ejen.
“Perancangan itu memang ada tapi kami perlu mengkaji dahulu trend pasaran dan sebagainya. Buat masa ini kami hanya fokus pada penjualan sambal menerusi platform media sosial Instagram dan Shopee,” tambahnya. – UTUSAN










