PETALING JAYA: Langkah Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperluas pelaburannya ke sektor tenaga boleh dibaharui (RE) dilihat memberi kelebihan kepada syarikat itu untuk mempelbagaikan sumber penjanaan tenaganya.
Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, usaha itu membuktikan komitmen TNB untuk meningkatkan penglibatan mereka dalam sektor RE untuk tempoh jangka panjang.
“Kebaikan menceburi RE adalah mampu mempelbagaikan sumber penjanaan sekaligus mengurangkan risiko ke atas ketidaktentuan harga komoditi seperti arang batu dan gas yang boleh menjejaskan keuntungan TNB.
“Penglibatan TNB dalam sektor ini juga mampu membantu negara dari segi meneroka teknologi baharu dan mewujudkan pelbagai peluang perniagaan serta pekerjaan dalam sektor RE,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, TNB menerusi anak syarikat milik penuhnya, TNB Renewables Sdn. Bhd. telah memeterai binding term sheet bagi kerjasama dengan Sunseap Group berpusat di Singapura.
Kerjasama itu bagi meneroka pasaran RE dan Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) Korporat di republik berkenaan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, kerjasama itu adalah pencapaian penting bagi TNB dalam usaha meluaskan jejak mereka dalam bidang RE di peringkat antarabangsa, termasuk Asia Tenggara.
Beliau berkata, terkini, portfolio keseluruhan RE TNB adalah sebanyak 2,7732.3 megawaatt (MW) di Malaysia (termasuk 2,536.1MW daripada hidro besar) dan 666MW di United Kingdom, Turki dan India yang kebanyakannya melibatkan aset penjanaan tenaga solar, angin dan hidro.
Mengulas lanjut, Ahmed Razman melihat langkah tersebut sebagai satu usaha terkini TNB untuk mengurangkan kebergantungan kepada arang batu dan gas sebagai sumber penjanaan elektrik sekaligus mendukung hasrat kerajaan untuk mengurangkan pengeluaran karbon dan juga ke arah memenuhi Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Ketika ini, 90 peratus penjanaan elektrik oleh TNB datang dari sumber arang batu dan gas.
“Namun, separuh daripada pelaburan TNB di luar negara berfokuskan RE dan perjanjian dengan Sunseap Group membuktikan komitmen berterusan TNB untuk meningkatkan penglibatan mereka dalam RE untuk tempoh jangka masa panjang,” katanya. – UTUSAN










