Terus bernafas dalam pandemik - Utusan Malaysia

Terus bernafas dalam pandemik

THE BLANKET mahu luaskan sayap ke negara-negara ASEAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

The Blanket Hotel sasar buka hotel di luar negara dalam tempoh dua tahun lagi

BERMULA dengan hanya memiliki sebuah hotel di Lebuh Penang iaitu Hotel Merlin pada tahun 2021 ini, siapa sangka The Blanket Hotel Sdn. Bhd. mampu memiliki dan menguruskan lima buah hotel bertaraf dua hingga empat bintang di Pulau Pinang dan juga Kajang, Selangor.

Selain itu, bagi mengukuhkan jenama rangkaian hotel di bawah pemilikan dan pengurusan The Blanket, Pengarah The Blanket Sdn. Bhd, Ieja Hindun Salleh berkata, pihaknya me­nyasarkan untuk mene­roka pasaran perhotelan ASEAN dalam tempoh dua tahun lagi.

“Dua tahun lagi merupakan tempoh yang sesuai untuk The Blanket meneroka pasaran ASEAN kerana kita menjangka prospek ekonomi berkaitan bidang perhotelan akan kembali mengukuh selepas pandemik Covid-19 reda.

“Kami juga telah menubuhkan Blanket International Sdn. Bhd. sebagai persiapan untuk meneroka pasaran ASEAN dalam tempoh dua tahun lagi,” katanya di sini baru-baru ini.

IEJA HINDUN SALLEH

Menurut Ieja buat masa ini, pihaknya menumpukan perhatian untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka di sekitar Pulau Pinang dan Kuala Lumpur terlebih dahulu.

Yang terbaharu katanya, pe­ngurusan The Blanket Hotel Sdn. Bhd. mengambil langkah untuk mengambil alih pengurusan Vouk Hotel Suites yang terletak di Jalan Sultan Ahmad Shah pada 1 Mac lalu ketika sektor perhotelan masih suram akibat pandemik Covid-19.

“Vouk Hotel Suite ini mempunyai pelanggan setianya tersendiri di mana lokasi hotel ini strategik dan terletak di te­ngah bandar bersebelahan sebuah hospital swasta.

“Selain itu, keenakan makanan yang disajikan sebelum ini membuatkan tetamu tidak sabar untuk kembali menginap dan kami merancang untuk mengekalkan segala kemudahan yang ada di hotel ini selain menambah baik perkhidmatan yang ada,” katanya.

Tambahnya, menerusi pembukaan semula Vouk Hotel Suites di bawah pengurusan The Blanket Sdn. Bhd, hotel berkenaan bakal menyediakan kemudahan kolam renang yang terletak di aras bumbung selain mempunyai gimnasium, kafe dan pool bar.

Tambah beliau, pada masa ini, sebagai promosi penginapan di bilik-bilik di Vouk Hotel Suites ditawarkan pada RM95 sahaja berbanding RM220 sebelum ini bermula 1 hingga 31 Mac ini.

Ieja Hindun berkata, pihak­nya tidak menyasarkan keuntungan berganda pada tahun pertama pembukaan Vouk Hotel Suite ini ekoran pelbagai kekangan akibat pandemik Covid-19.

“Kami mengharapkan keuntungan mencukupi untuk pusingan kos operasi kerana ia sudah memadai pada waktu ini kerana matlamat kami lebih kepada untuk membantu ramai yang kehilangan pekerjaan,” katanya.

Tambahnya, ketika pandemik Covid-19 ini masih melanda negara, pihaknya menyasarkan keuntungan kira-kira RM10 juta untuk kelima-lima hotel di bawah rangkaian pengurusan The Blanket Sdn. Bhd.

Pada masa ini, katanya, tumpuan diberikan untuk memastikan hotel-hotel yang dimiliki dan diuruskan oleh The Blanket Sdn. Bhd. iaitu The Merlin Hotel (Cawangan Pulau Pinang dan Kajang), The Blanket Hotel (Seberang Jaya), Bahang Bay Hotel (Teluk Bahang) dan Vouk Hotel Suites (Jalan Sultan Ahmad Shah) terus dikenali dan menjadi destinasi pilihan pengunjung.

“Kami yakin dengan teknologi sekarang seperti melalui media sosial di mana setiap berita di­sampaikan dalam masa yang singkat ke merata tempat.

“Jadi kami menggunakan teknologi ini dalam membantu memasarkan hotel-hotel di bawah pe­ngurusan kami,” kata­nya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN