fbpx

16 April 2021, 10:09 pm

  TERKINI

RM3 juta sedia platform online

ZUHAIRI Ab. Kadir berucap pada majlis pelancaran Empire Business Trizure di PKGK Kuala Gandah, Lanchang, Temerloh, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Syarikat multimedia, Trizure International (M) Sdn. Bhd. memperuntukkan kira-kira RM3 juta bagi membangunkan aplikasi seperti Lazada dan Shopee yang akan membantu mempromosi produk perniagaan golongan B40 dan M40 secara dalam talian.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, aplikasi yang hampir 90 peratus siap itu akan merangkumi pelbagai rangkaian perniagaan termasuk sektor perhotelan seluruh negara.

“Usaha Trizure International Malaysia ini adalah selaras saranan kerajaan yang menggalakan perniagaan secara digital pada era norma baharu ekoran penularan pandemik Covid-19 pada ketika ini.

“Tentunya kaedah perniagaan secara dalam talian ini akan memudahkan, menjimatkan serta memberi pendapatan sampingan kepada golongan peniaga khususnya kumpulan B40 dan M40,” katanya kepada Utusan Malaysia pada Majlis Pelancaran Empire Business Trizure di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah di sini, semalam.

Turut hadir, Pengasas Trizure Internatiol, Datuk Dr. S. Selveraja dan Penasihatnya, Datuk Jafri Zainal.

Pada majlis tersebut, Trizure International turut menyumbangkan makanan kepada kira-kira 32 ekor gajah di pusat berkenaan dan pelancaran Kad Jiwa Prihatin dari Pertubuhan Anak Kelahiran Pahang (PAKP) bagi membantu golongan B40.

Zuhairi berkata, untuk melaksanakannya, Trizure International bekerjasama dengan badan peminjam modal niaga dalam strategi digital dengan jaminan jana pendapatan individu yang menyertainya.

“Teras pelaksanaan adalah terdiri dari kerjasama antara Trizure International Malaysia, Koperasi Penguatkuasa PBT Berhad dan Time Brain Sdn. Bhd.” katanya.

Beliau berkata, penularan pandemik Covid-19 bukan sahaja menimbulkan keperluan mendesak untuk menangani norma baharu tetapi turut mempersiapkan rakyat mendepani perubahan gaya hidup masa depan berlandaskan inovasi dan teknologi.

Menurutnya, wabak itu juga telah mempercepatkan pembangunan teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) dan pelaksanaan ekonomi digital.

“Ini terbukti apabila potensi 4IR yang dipacu dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) turut digunakan dalam aktiviti pengeluaran, perkhidmatan dan perniagaan Trizure International Malaysia,” katanya. – UTUSAN