Gaji tidak sepadan kos hidup - Utusan Malaysia

Gaji tidak sepadan kos hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Terdapat keperluan yang sangat penting untuk kerajaan mengkaji semula gaji minimum di negara ini, sama ada ia sesuai atau tidak dengan keadaan ekonomi semasa.

Malah kata Penganalisis Penyelidik di organisasi pemikir bebas, EMIR Research, Sofea Azahar, statistik juga menunjukkan bahawa pampasan untuk pekerja di negara ini jauh lebih rendah berbanding ekonomi maju seperti Singapura dan Korea Selatan.

Menurut beliau, kenaikan gaji harus seiring dengan peningkatan kemahiran pekerja (melalui pendidikan) dan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi harus diwujudkan menerusi pelaburan bernilai tinggi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dengan cara ini, pekerja yang lebih berkemahiran dapat memenuhi keperluan industri dan boleh menuntut gaji yang lebih tinggi.

“Ketidakpadanan gaji pekerja dan kos sara hidup merupakan isu yang sudah lama dan semestinya tidak mempunyai satu sahaja jalan penyelesaian. Namun, kita harus mula berfikir secara mendalam tentang isu ini sebelum terlambat,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sofea berkata, jurang gaji tidak membantu dalam menyokong kos sara hidup yang semakin meningkat.

Sebagai contoh katanya, semasa perbincangan kumpulan fokus EMIR Research pada suku ketiga tahun lalu, seorang peserta dari Sabah memberitahu terdapat keperluan untuk penyeragaman gaji di seluruh negara memandangkan kos sara hidup di Sabah sama tinggi seperti di negeri yang lebih membangun, tetapi jurang gaji sangat besar.

Tambah beliau, realiti itu mungkin tidak dicerminkan sepenuhnya oleh statistik (yang dikeluarkan oleh agensi dan jabatan berkaitan), tetapi ia dapat dirasai dengan ketara oleh golongan-golongan yang terkesan.

“Gaji minimum kekal rendah (RM1,100 hingga RM1,200) walaupun terdapat usaha untuk menghapuskan jurang gaji antara Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Labuan.

“Contohnya, sesebuah isi rumah yang berpenghuni oleh seorang individu berpendapatan RM1,200 sebulan dan tinggal di Kuala Lumpur, tetapi jumlah pendapatan untuk membeli keperluan asas minimum adalah sebanyak RM2,206. Adakah keadaan sebegini wajar dan masuk aka?,” soalnya.

Menurut Sofea, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan, pendapatan purata isi rumah di peringkat nasional meningkat pada kadar 4.3 peratus dalam tempoh antara 2016 dan 2019, manakala pendapatan boleh guna purata (pendapatan selepas ditolak bayaran pindahan termasuk bayaran wajib yang dikenakan ke atas isi rumah), menaik pada kadar 4.6 peratus dalam tempoh sama.

Malah katanya, mengikut kumpulan isi rumah, pendapatan isi rumah rata-rata untuk golongan B40, M40 dan T20 juga meningkat dalam tempoh bermula 2016 hingga 2019.

“Namun, persoalannya, adakah statistik ini mencerminkan realiti terutama selepas terjadi pandemik yang tidak pernah terjadi sebelum ini?,” soal beliau.

Sofea turut membangkitkan perbelanjaan penggunaan isi rumah yang meningkat pada kadar purata empat peratus dalam tempoh 2016 hingga 2019 dan kenaikan harga makanan yang konsisten akan menyebabkan kumpulan isi rumah dalam golongan B40 terkesan daripada kadar inflasi lebih tinggi.

“Selain itu, hutang isi rumah berada pada tahap yang tinggi -82.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2019.

“Tahap kecelikan kewangan rakyat Malaysia juga tidak memuaskan dalam kalangan belia. Bukan sahaja kadar pengangguran sudah meningkat, terdapat juga isu `underemployment’ yang semakin serius,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×