Vaksinasi bantu pulihkan ekonomi - Utusan Malaysia

Vaksinasi bantu pulihkan ekonomi

Kenderaan yang membawa kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech bergerak keluar dari kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pakar ekonomi menyifatkan program vaksinasi yang dijalankan oleh kerajaan membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi negara.

Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, ketibaan bekalan pertama vaksin semalam memberikan impak positif kepada negara, khususnya kepada perniagaan tempatan, pelabur luar dan pasaran kewangan.

Kata beliau, ketibaan vaksin memberi isyarat bahawa lebih banyak sektor akan kembali beroperasi, aktiviti ekonomi kembali rancak dan fasa pemulihan ekonomi dapat direa­lisasikan.
“Seterusnya, pengukuhan dan pemerkasaan juga dapat disegerakan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Beliau menekankan, kerajaan perlu segera melonggarkan sekatan aktiviti ekonomi bagi memastikan pemulihan dan pengukuhan ekonomi dapat berlangsung segera.

“Kita tiada masa lagi. Kekangan aktiviti ekonomi harus dilonggarkan secepat mungkin dan seluas mungkin. Namun, ia harus dikembarkan bersama beberapa prosedur operasi standard (SOP) buat seketika waktu sehingga kita berjaya sepenuhnya mengatasi masalah Covid-19,” katanya.

Semalam, konvoi yang membawa bekalan pertama vaksin Covid -19 Pfizer-BioNTech selamat tiba di Pusat Penyimpanan di Subang Jaya di sini.

Konvoi yang membawa vaksin itu berlepas dari Advanced Cargo Centre (ACC), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira 10.45 pagi sebelum tiba di pusat penyimpanan terbabit pukul 11.40 pagi semalam.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, data global telah menunjukkan bahawa negara yang memulakan vaksinasi Covid-19 telah menun­jukkan kesan positif dalam penurunan kes baharu di negara masing-masing.

Sebagai contoh katanya, ada negara yang telah menjalankan vaksinasi kepada 600,000 penduduknya melaporkan keberkesanan vaksinasi yang menunjukkan 94 peratus penurunan jangkitan Covid-19.

“Apabila berlaku penurunan kes baharu, ini akan meningkatkan keyakinan rakyat dan peniaga untuk menjalankan aktiviti seharian dan perniagaan seperti biasa. Ia membolehkan sekatan perjalanan ditamatkan dan membolehkan lebih banyak sektor dibenarkan dibuka untuk beroperasi seperti biasa.

“Apabila semua ini berlaku, pemulihan ekonomi akan berlaku dengan lebih cepat dan membantu Malaysia untuk kembali mencatatkan pertumbuhan ekonomi tahun ini,” katanya.

Jelas Ahmed Razman, apabila ekonomi kembali pulih, ia akan membuka banyak peluang perniagaan dan aktiviti dan ini akan membantu mewujudkan peluang pekerjaan.

“Inisiatif di dalam Belanjawan 2021 seperti Penjana Kerja dan MyStep akan turut mempercepatkan pengambilan pekerja baru dalam pelbagai sektor. Kemungkinan pemulihan ekonomi akan berlaku selewat-lewatnya separuh tahun kedua 2021,” katanya

Bagaimanapun katanya, masih terdapat sektor ekonomi yang mungkin masih terjejas iaitu hospitaliti dan pelancongan.

“Ini kerana, walaupun majoriti rakyat akan menerima vaksin, belum tentu pelancong luar negara sudah divaksin. Ini akan menyebabkan kemasukan pelancong asing kekal rendah sepanjang tahun ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN