Ubah persepsi, daftar harta intelek - Utusan Malaysia

Ubah persepsi, daftar harta intelek

MOHD. ROSLAN MAHAYUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BICARA NIAGA..

MUKADIMAH 

TAHAP kesedaran masyarakat untuk mendaftarkan harta intelek dilihat tidak setara dengan produk atau perniagaan yang ada di pasaran negara hari ini.

Ironinya, tidak kira sebesar mana perniagaan tersebut, adalah lebih selamat sekiranya didaftarkan dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) supaya tidak berdepan masalah peniruan atau produk ‘ciplak’ di kemudian hari.

Ketua Pengarahnya, DATUK MOHD. ROSLAN MAHAYUDIN menegaskan, tidak kira masyarakat hanya berniaga nasi lemak, kerepek atau tudung secara kecil-kecilan, seboleh-bolehnya daftarkan cap dagangan dengan MyIPO kerana tiada siapa tahu jika produk tersebut akan mendapat sambutan kelak.

“Perkara itu sekali gus ‘memancing’ pengusaha lain meniru jenama, logo atau idea perniagaan tersebut. Masalah sebegini tak sepatutnya berlaku sedangkan hanya RM950 kos pendaftaran diperlukan untuk pengusaha dapatkan perlindungan cap dagangan selama 10 tahun,” katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya baru-baru ini.

Ikuti temu bual beliau bersama wartawan, NURFARAHIN HUSSIN dan jurugambar AMIR KHALID.

———

UTUSAN: Adakah jumlah permohonan setara dengan barangan yang sepatutnya didaftarkan di bawah cap dagangan harta intelek MyIPO?

MOHD. ROSLAN: Sememangnya jumlah permohonan yang diterima MyIPO tidak setara dengan jumlah barangan yang terdapat di pasaran. Kerana pendaftaran harta intelek adalah tidak wajib. 

Bagaimanapun, usahawan perlu tahu banyak faedah yang diperoleh sekiranya mendaftar harta intelek mereka. Kami bantu mereka dapatkan hak milik eksklusif untuk menggunakan harta intelek yang didaftarkan sama ada paten, cap dagangan, reka bentuk perindustrian, hak cipta atau petunjuk geografi.

Persepsi yang mengatakan bahawa kos untuk mendaftarkan mahal sebenarnya tidak tepat. Misalnya, kos pendaftaran cap dagangan hanya RM950 untuk tempoh perlindungan selama 10 tahun. 

Namun, boleh saya katakan tahap kesedaran orang ramai tentang kepentingan pendaftaran harta intelek semakin meningkat berdasarkan statistik permohonan pendaftaran yang diterima setiap tahun.

 

Boleh Datuk terangkan mengenai statistik permohonan diterima dan pendaftaran disahkan dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini?

Jika dilihat pada statistik, kita menerima 52,998 permohonan pada  2018 dan mendaftarkan sebanyak 40,428. Bagi 2019 pula, permohonan meningkat kepada 56,186 dan 40,428 diterima pendaftarannya. 

Bagaimanapun, terdapat penurunan hampir 10 peratus pada tahun lalu iaitu 50,898 permohonan dan 35,017 disahkan pendaftaran. Ini mungkin kerana situasi pandemik yang memberi kesan kepada banyak pihak sekali gus merencatkan usaha mereka mengembangkan perniagaan.

Setiap tahun permohonan cap dagangan adalah yang paling banyak diterima pada 2018 iaitu 43,656 permohonan, diikuti 46,530 permohonan pada tahun 2019 dan 42,172 permohonan tahun lalu.

Ini membuktikan masyarakat terutamanya pereka, pengeluar, pengilang dan penjual semakin peka terhadap kepentingan melindungi harta intelek kerana setiap idea kreativiti yang dihasilkan amat bernilai dan menjadi penyumbang kepada ekonomi dan reputasi sesebuah perniagaan.

 

Apakah proses dan maklumat yang diperlukan untuk mendaftarkan harta intelek?

Proses permohonan pendaftaran dan maklumat yang diperlukan adalah berbeza mengikut jenis komponen harta intelek. Usahawan boleh failkan secara manual di Kaunter Khidmat Pelanggan MyIPO ataupun dalam talian iaitu di iponline2u.myipo.gov.my.

Selepas itu, pihak MyIPO akan membuat pemeriksaan kebolehdaftaran sesuatu harta intelek berdasarkan Akta-akta seperti Akta Cap Dagangan 2019, Akta Paten 1983 dan Akta Reka Bentuk Perindustrian 1996 sebelum MyIPO siarkan permohonan harta intelek yang diluluskan dalam Jurnal Rasmi Harta Intelek untuk notifikasi awam. 

Di peringkat ini, orang awam boleh mengemukakan bantahan dalam tempoh dua bulan sekiranya mendapati harta intelek tersebut sama atau hampir sama dengan yang telah didaftarkan. Setelah tamat tempoh dan tiada bangkangan, barulah harta intelek itu akan didaftarkan.

 

Apakah perbezaan atau penambahbaikan Akta Cap Dagangan 1976 dengan Akta Cap Dagangan 2019?

Objektif utama pindaan Akta Cap Dagangan adalah untuk mewujudkan sistem pendaftaran dan perlindungan cap dagangan yang moden, komprehensif dan efektif bagi memenuhi keperluan komuniti perniagaan, selaras dengan perkembangan harta intelek antarabangsa.

Dulu, jenis cap dagangan yang dilindungi terhad kepada cap dagangan tradisional, cap dagangan perakuan dan cap dagangan pertahanan contohnya logo, jenama, tiket, label, nama, tandatangan, perkataan, huruf, nombor atau kombinasi elemen-elemen tersebut.

Di bawah akta baharu yang digubal, skop perlindungan diperluas kepada cap dagangan bukan tradisional iaitu bentuk dan bungkusan produk, bunyi, bau, warna, hologram dan urutan gerakan (motion mark). 

Contohnya, bentuk piramid coklat Toblerone, bunyi auman singa syarikat filem Metro Goldwyn Mayer, bau ros pada tayar syarikat Dunlop, warna ungu pada bungkusan coklat Cadbury, hologram Google LLC dan pergerakan perkataan TOSHIBA.

Dengan penambahbaikan ini, semakin banyak produk atau perniagaan yang boleh mendaftar mengikut komponen supaya perniagaan mereka dilindungi.

 

Sejauh mana peranan MyIPO dalam membantu membanteras aktiviti penyalahgunaan cap dagang dan hak cipta seterusnya memastikan pemilik asal barangan yang ditiru terbela?

Setelah sesuatu harta intelek itu dibuat pemeriksaan untuk menentukan ia adalah baharu dan belum dimiliki oleh mana-mana pihak serta mematuhi akta-akta harta intelek, MyIPO akan mewartakan harta intelek tersebut di Jurnal Rasmi Harta Intelek dan mengeluarkan sijil kepada pemunya harta intelek tersebut.

Pemilik sah sesuatu cap dagangan yang telah didaftarkan di bawah Akta Cap Dagangan 1976, boleh mengambil tindakan undang-undang jenayah atau sivil selepas mendapat kerjasama bahagian penguatkuasaan Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di bawah Akta Perihal Dagangan 1972 untuk membuat rampasan terhadap barangan tiruan yang menggunakan cap dagangan mereka.

Kerajaan juga telah menubuhkan Mahkamah Harta Intelek di Malaysia pada 17 Julai 2007 yang khusus untuk mempercepatkan penyelesaian kes-kes harta intelek. Manakala bagi hak cipta, kerajaan menubuhkan Tribunal Hak Cipta yang berfungsi sebagai satu platform rasmi bagi menyelesaikan pertikaian yang melibatkan hak cipta serta menentukan pembayaran saraan yang saksama di dalam industri kreatif negara. 

Ini termasuk usaha MyIPO dalam memastikan hasil pendapatan royalti penulis lagu, pembikin filem dan sebagainya dapat dikongsi bersama di antara pengurusan badan pelesenan dan ahli-ahlinya mengikut amalan standard badan pelesenan berdasarkan prinsip Transparency, Accountability and Good Governance (TAG).

Malah, Tribunal Hakcipta dapat menjadi satu badan alternatif yang sangat sesuai bagi mendengar dan memutuskan isu pertikaian pengagihan royalti antara badan pelesenan dan ahli-ahlinya dengan kos yang minimum dan lebih cepat berbanding tindakan di mahkamah.

 

Apakah yang dimaksudkan dengan protokol madrid dan sejauh mana keterlibatan Malaysia?

Malaysia telah menyertai triti The Protocol Relating to The Madrid Agreement Concerning the International Registration of Marks atau lebih dikenali sebagai Madrid Protocol (Protokol Madrid) pada 27 September 2019.

Secara langsung, penggubalan Akta Cap Dagangan 2019 ini bertujuan untuk memenuhi obligasi antarabangsa Malaysia bagi memperkenalkan peruntukan berkaitan Protokol Madrid dan membolehkan Sistem Madrid dilaksanakan di sini.

Sistem ini membolehkan pemilik cap dagangan mendapat perlindungan di 122 negara tersenarai melalui permohonan antarabangsa tunggal di Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO). 

Kita juga sarankan usahawan mendaftar dahulu harta intelek mereka sebelum memasuki pasaran luar negara. Jika tidak, masalah lebih besar timbul kalau berlaku pelanggaran harta intelek kerana perlu dapatkan kerjasama penguat kuasa luar pula. Kita tidak boleh buat apa-apa kerana bidang kuasa kita terhad di dalam negara sahaja.

Selain itu, Protokol Madrid ini juga menjimatkan kos kerana usahawan tak perlu gunakan khidmat ejen atau pergi sendiri berurusan dengan satu-satu negara itu. Hanya satu permohonan diperlukan dan efektif di peringkat antarabangsa.

 

Harapan Datuk mengenai kesedaran orang ramai untuk mendaftarkan harta intelek mereka.

Bagi saya, jumlah permohonan diterima masih berada dalam tahap memuaskan. Namun, kita mahu lebih ramai menyedari mereka tidak seharusnya berlengah dalam membuat pendaftaran harta intelek walaupun hanya berniaga nasi lemak tepi jalan sekalipun. 

Cuba bayangkan kalau tiba-tiba perniagaan itu mendapat sambutan, sudah tentu jenama ditiru dan mendatangkan kekeliruan pada orang ramai. Akhirnya, anda sendiri yang rugi kerana apa yang anda usahakan sudah tidak eksklusif.

Ini yang berlaku kepada perniagaan Nasi Kak Wook dan Shell Out. Ada satu ketika ramai yang meniru jenama dan logo makanan tersebut. Nasib baik kedua-duanya memang mendaftar dengan MyIPO, jadi tindakan undang-undang dapat diambil kepada pihak yang didapati bersalah.

Kita perlu menghormati harta intelek supaya lebih banyak produk inovasi dihasilkan dan mewujudkan persaingan perdagangan yang sihat. Perkara ini sudah tentu memberi impak positif kerana dapat menarik pelaburan asing ke negara kita dan secara tidak langsung dapat memajukan pembangunan ekonomi negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN