SPG sedia salur bekalan elektrik - Utusan Malaysia

SPG sedia salur bekalan elektrik

SPG kini boleh beroperasi pada tahap penuh kapasiti penjanaannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Southern Power Generation Sdn. Bhd. (SPG) bersedia menyalurkan 1,440 megawatt (MW) bekalan elektrik kepada grid nasional menerusi dua loji janakuasa tarbin gas
kitaran gabungan (CCGT), masing-masing berkapasiti 720MW.

Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn. Bhd., Datuk Nor Azman Mufti berkata, SPG kini boleh beroperasi pada tahap penuh kapasiti penjanaannya berikutan unit kedua (Unit 2) Loji Janakuasa Tarbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) berjaya mencapai tarikh operasi komersial (COD) pada tengah malam hari ini.

Beliau berkata, Unit 1 juga mencapai tarikh operasi komersial pada 1 Januari 2021.

“Dengan tercapai COD Unit 2 ini, sejumlah 720MW lagi penjanaan disalurkan kepada kapasiti penjanaan sedia ada di Semenanjung Malaysia, membawa jumlah keseluruhan penjanaan
kepada 25,962MW,” katanya dalam kenyataan hari ini.

NOR AZMAN MUFTI

Nor Azman berkata, kejayaan SPG dapat dilakukan hasil kerjasama dan sokongan pihak berkepentingan termasuk pengawal selia, pihak berkuasa, rakan projek, pemodal dan
kontraktor.

Kata beliau, kedua-dua loji itu terletak secara strategik di bahagian selatan Malaysia iaitu Pasir Gudang, Johor dan berperanan penting dalam mengukuhkan kestabilan bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia.

“Terima kasih. Bersama, kita telah menjadikan ia satu pencapaian bermakna buat TNB dalam menjayakan projek-projek utama negara,” katanya.

Kedua-dua loji itu dikendalikan dan disenggara sepenuhnya oleh REMACO, anak syarikat TNB Power Generation. TNB Power Generation adalah anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang membangun, mengendalikan serta menyelenggara portfolio unit penjanaan tenaga milik TNB.

SPG membekalkan tenaga kepada TNB menerusi Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA). Kedua-dua lojinya menggunakan gas asli sebagai bahan bakar utama.

Bekalan elektrik yang dijana menggunakan teknologi tarbin pembakaran 9HA.02 daripada General Electric (GE) dijangka mencapai kecekapan loji kitar padu melebihi 60 peratus.

SPG adalah loji janakuasa komersial pertama di dunia yang menggunakan tarbin gas 9HA.02 terbaharu dan paling cekap dihasilkan GE.

TNB dan TNB Power Generation memiliki saham majoriti sejumlah 70 peratus dalam SPG sementara bakinya, 30 peratus dipegang oleh SIPP Energy Sdn. Bhd. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.