fbpx

6 Mac 2021, 1:57 pm

  TERKINI

PetGas untung RM2.01 bilion 2020

Hasil Petronas Gas secara tahun ke tahun meningkat 2.5 peratus kepada RM5.60 bilion.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petronas Gas Berhad (PetGas) mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi tahun lalu berbanding tahun sebelumnya pada RM2.01 bilion.

Ia merupakan peningkatan 3.84 peratus berbanding jumlah RM1.94 bilion yang dicatatkan tahun sebelumnya.

Secara suku ke suku, keuntungan bersih syarikat itu meningkat 3.73 pe­ratus daripada RM485.27 juta pada suku keempat 2019 kepada RM503.35 juta suku keempat tahun lalu.

Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia semalam, PetGas berkata, hasil syarikat itu secara tahun ke tahun meningkat 2.5 peratus kepada RM5.60 bilion.

“Hasil daripada segmen regasifikasi dan pengangkutan gas meningkat RM182.5 juta, selari dengan tarif baharu untuk Tempoh Peraturan 1 (RP1) berkuat kuasa 1 Januari 2020.

“Ini diseimbangkan dengan hasil yang lebih rendah dalam segmen utiliti disebabkan penjualan elektrik berlebihan yang menurun,” katanya.

Selain itu, keuntungan kasar syarikat itu turut meningkat 11.3 peratus atau sebanyak RM269.3 juta disebabkan sumba­ngan yang lebih besar daripada segmen pemprosesan gas, regasifikasi dan utiliti, sebahagian besarnya disumbangkan oleh kos operasi yang lebih rendah.

“Keuntungan sebelum cukai (PBT) pada RM2.61 bilion, bertambah sebanyak enam peratus atau sebanyak RM147.3 juta sebahagian besarnya dipacu keuntungan kasar yang lebih tinggi dan diseimbangkan dengan pendapatan lain yang lebih rendah serta pergerakan tukaran wang asing yang tidak memihak, selain pendapatan pelaburan yang lebih rendah.

“Keuntungan dan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) pada tahun tersebut naik sebanyak 4.9 peratus atau RM98.2 juta pada RM2.08 bi­lion dan 1.8 peratus atau RM63.5 juta pada RM3.57 juta masing-masing selari dengan PBT yang lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, pendapatan sesaham (EPS) syarikat itu meningkat 3.8 peratus, mencerminkan keuntungan yang lebih tinggi kepada pemegang saham syarikat.

Syarikat itu turut mengumumkan dividen bernilai 22 sen setiap saham yang membawa kepada jumlah RM435.3 juta.

“Dividen istimewa interim sebanyak 5 sen setiap saham biasa membawa kepada jumlah RM98.9 juta untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020,” katanya. – UTUSAN