Peruntukan tambahan RM2 bilion - Utusan Malaysia

Peruntukan tambahan RM2 bilion

KERJASAMA akan mempercepatkan transformasi digital dan integrasi kewangan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM2 bilion untuk Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF) bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Bank pusat itu turut mengumumkan penubuhan Kemudahan Bantuan Bencana (DRF) dengan peruntukan sebanyak RM200 juta bagi membantu PKS yang terjejas akibat banjir.

Menurut BNM, tambahan tersebut akan meningkatkan jumlah peruntukan untuk TRRF kepada RM4 bilion.

“Kemudahan ini akan disediakan sehingga 31 Disember 2021 atau setelah peruntukan digunakan sepenuhnya, mana yang lebih awal,” katanya dalam kenyataan semalam.

Jelasnya, PKS yang merupakan penerima Kemudahan Bantuan Khas dan Pembiayaan PKS Penjana, kini boleh memohon TRRF, tertakluk kepada jumlah had pembiayaan tidak melebihi RM500,000.

Bagi PKS dalam suksektor perkhidmatan pelancongan dan berkaitan pelancongan pula katanya, bantuan terus disediakan di bawah Kemudahan Pelancongan Pelan Jana Semula Ejkonomi Negara (Penjana) yang ada.

Mengenai DRF pula, BNM menjelaskan, kemudahan itu ditubuhkan untuk mengurangkan beban kewangan dan membantu memulihkan operasi perniagaan PKS yang terjejas akibat banjir baru-baru ini di daerah yang dikenal pasti oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara sebagai kawasan bencana banjir.

“DRF 2021 bertujuan membantu PKS menampung kos membaik pulih dan menggantikan aset untuk kegunaan perniagaan yang mengalami kerosakan. Dana ini ditawarkan kepada PKS Malaysia termasuk perusahaan mikro dengan jumlah pembiayaan maksimum sehingga RM500,000 bagi setiap PKS dan sehingga RM75,000 bagi setiap perusahaan mikro,” katanya.

Tempoh pembiayaan dana itu kata BNM, adalah sehingga lima tahun, termasuk moratorium selama enam bulan bagi bayaran pokok dan faedah. Sementara kadar pembiayaan adalah sehingga 3.50 peratus setahun, termasuk fi jaminan.

“Kemudahan ini disediakan sehingga 31 Julai 2021 atau setelah peruntukan digunakan sepenuhnya, mana-mana yang lebih awal.

“Perniagaan yang terjejas boleh memohon pembiayaan pada kadar konsesi daripada institusi kewangan peserta terdiri daripada bank perdagangan, bank-bank Islam dan institusi kewangan pembangunan yang dikawal selia oleh BNM,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya