Jangan pandang rendah risiko hak asasi manusia - Utusan Malaysia

Jangan pandang rendah risiko hak asasi manusia

Prestasi kewangan tahunan Top Glove yang baik disebabkan permintaan sarung tangan yang tinggi, ditambah dengan peningkatan purata harga jualan (ASP) yang didorong oleh pandemik Covid-19. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: KPMG Management & Risk Consulting Sdn. Bhd. (KPMG) mengingatkan syarikat-syarikat di negara ini supaya tidak memandang rendah risiko yang timbul akibat pelanggaran hak asasi manusia.

Pengarah Eksekutif Unit Penasihat Kemampanan dan Tadbir Urus KPMG, Phang Oy Cheng berkata, berdasarkan senarai aktif Perintah Tahanan Pelepasan (WRO) terbaharu oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS), Malaysia mempunyai jumlah syarikat yang kedua tertinggi dalam senarai tersebut di belakang China.

Ini termasuk empat syarikat yang dimasukkan dalam senarai tersebut tahun lalu, iaitu Sime Darby Plantation Berhad, FGV Holdings Berhad, Top Glove Sdn. Bhd. dan TG Medical Sdn. Bhd.

Menurut Oy Cheng, setakat 12 Januari lalu, United Kingdom (UK) dan Kanada merupakan negara terbaharu yang turut melaksanakan polisi import baharu yang bertujuan untuk memerangi amalan buruh paksa dan pelanggaran hak asasi manusia.

“Untuk syarikat-syarikat yang tidak bersedia, menerima WRO atau sekatan import melibatkan kos yang tinggi khususnya impak terhadap pendapatan syarikat pada masa akan datang.

“Kegagalan untuk mengenal pasti dan memberi respons kepada isu-isu hak asasi manusia akan membawa kepada tindakan undang-undang yang berkos tinggi dan mengganggu, kehilangan pelaburan, publisiti yang negatif, kerosakan reputasi dan kerugian kewangan yang signifikan.

“Kerosakan akibat pengurusan hak asasi manusia yang lemah memberi kesan berpanjangan yang perlu diperbaiki dengan usaha dan sumber yang banyak,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Malangnya, kata Oy Cheng, ramai pemimpin perniagaan di Malaysia memandang rendah risiko hak asasi manusia dan kesannya kepada syarikat sehingga sudah terlambat.

Contohnya seperti yang berlaku kepada Top Glove apabila siasatan penyebaran jangkitan Covid-19 dalam kalangan pekerjanya mendedahkan kemudahan kediaman yang menyedihkan untuk pekerja, membawa kepada kerugian kira-kira RM11 bilion permodalan pasaran syarikat itu selepas sahamnya jatuh 17 peratus.

“Kes-kes ini menunjukkan bahawa menguruskan hak asasi manusia bukan hanya tentang berbuat perkara yang betul, ia juga tentang melindungi pendapatan.

“Korporat di Malaysia perlu mengakui bahawa setiap keputusan perniagaan, kerjasama atau persumberan membawa bersama persoalan signifikan tentang potensi isu hak asasi manusia.

“Realiti ini menuntut perubahan pola fikir, keluar dari perhatian terhadap risiko kepada perniagaan yang tradisional dan bergerak kepada perhatian bukan kewangan terhadap risiko kepada manusia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya