fbpx

2 Mac 2021, 12:40 pm

  TERKINI

Airbus sertai tender pesawat peronda maritim Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengilang pesawat Airbus SE semalam mengesahkan penyertaannya dalam tender pesawat peronda maritim Malaysia  (MPA) dengan menawarkan pesawat udara taktikal generasi baharu dalam segmen ringan dan sederhana, C295.

Ketua Pertahanan dan Ruang Angkasa Airbus Asia Tenggara, Johan Pelissier berkata, C295 adalah pilihan tepat untuk keperluan Malaysia yang mewakili gabungan nilai dan kemampuan terbaik.

“Model itu adalah satu-satunya MPA dalam kategorinya yang boleh digunakan sekarang.

“C295 merupakan program pesawat yang terbukti dan rujukan global pengawasan maritim yang menawarkan risiko terendah, dengan kos pemerolehan, operasi dan kos kitaran hidup terbaik dalam kategorinya,” katanya dalam taklimat media maya mengenai prospek Airbus untuk pertahanan dan angkasa di Malaysia.

Turut hadir, Ketua Negara Airbus Malaysia, Raymond Lim.

Menurut Pelissier, Brazil, Kanada, Chile, Oman dan Portugal telah menggunakan C295 dengan jayanya.

C295 itu telah menjalankan pelbagai operasi di seluruh dunia dan dalam semua keadaan cuaca. Ia diperakui sepenuhnya dan beroperasi secara rutin siang dan malam dalam misi tempur semua keadaan cuaca yang melampau dari suhu panas hingga sejuk.

Selain itu, kunci keupayaan meronda dan kemahiran pengawasan yang unik C295 ialah sistem taktikal bersepadu (FITS), yang menyepadukan, mengawal dan memaparkan sensor misi yang meningkatkan kesedaran misi serta membantu pengguna membuat keputusan yang tepat.

Ogos tahun lalu, Kementerian Pertahanan telah mengeluarkan notis tender yang meminta dua MPA untuk kegunaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selaras dengan Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55).

Taklimat dalam talian telah dilaksanakan pada 1 Oktober 2020, melibatkan pihak berkuasa dan syarikat antarabangsa yang berminat dengan tender tersebut.

Selain Airbus MPA, pesawat lain yang berpotensi termasuk Leonardo ATR-72MPA, Boeing P-8A Poseidon, Kawasaki P-1 dan PTDI CN-235MPA. – UTUSAN