Public Mutual perkenal dana pelaburan di AS - Utusan Malaysia

Public Mutual perkenal dana pelaburan di AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Public Bank Bhd., Public Mutual Bhd. melancarkan dana baharu iaitu Dana PB U.S Eagle (PBUSEF), semalam.

Menurut Public Mutual dalam kenyataan, PBUSEF adalah dana ekuiti asing pertama di bawah Siri Dana PB yang memberi tumpuan pelaburannya di pasaran Amerika Syarikat (AS).

Katanya, dana berkenaan menyasarkan untuk mencapai pertumbuhan modal jangka panjang dengan melabur 75 hingga 98 peratus daripada nilai aset bersih (NAB) dalam ekuiti yang mengandungi saham mewah, saham indeks dan saham pertumbuhan terutama dalam pasaran AS.

Public Mutual berkata, bakinya pula akan dilaburkan ke dalam sekuriti pendapatan tetap dan aset cair.

“Harga terbitan awal untuk PBUSEF ialah RM0.2500 seunit dalam tempoh 21 hari tempoh tawaran awal antara 5 hingga 25 Januari 2021.

“Jumlah minimum pelaburan awal adalah RM1,000 manakala jumlah pelaburan tambahan minimum hanya RM100,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mengulas lanjut, Public Mutual berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS diunjurkan berkembang sebanyak 3.8 peratus tahun ini dengan perbelanjaan pengguna dan pelaburan kembali pulih disokong oleh pakej rangsangan ekonomi serta langkah kelonggaran monetari daripada Rizab Persekutuan berjumlah sehingga AS$2.7 trilion.

Syarikat itu berkata, potensi penghasilan vaksin Covid-19 yang berkesan tahun ini dan aktiviti perniagaan yang beransur pulih juga akan membantu menyokong pemulihan ekonomi.

“Pendapatan korporat di AS juga diramal meningkatkan semula sebanyak 22.1 peratus tahun ini selepas menguncup 14.2 peratus tahun lalu dengan syarikat AS adalah peneraju bidang pertumbuhan baharu seperti bioteknologi, teknologi kewangan (fintech), pengkomputeran awan dan pemanduan autonomi.

“Di samping itu, pasaran AS terdiri daripada sebilangan besar syarikat multinasional yang mempunyai aliran pendapatan pelbagai jenis bidang dan memanfaatkan peluang pertumbuhan di seluruh ekonomi global,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.